Darul Hana raih pengiktirafan kelestarian Asia-Pasifik

Facebook
WhatsApp
SAIFUL Bahari Amra Ramly (kanan) bersama Sapheri Rosli pada majlis penyampaian Anugerah Tindakan Kelestarian Asia-Pasifik (APSAA) 2026 di Taipei, Taiwan.

KUCHING: Projek Pembangunan Semula Darul Hana meraih pengiktirafan menerusi Anugerah Tindakan Kelestarian Asia-Pasifik (APSAA) 2026 di Taipei, Taiwan, sekali gus mencerminkan pendekatan pembangunan berteraskan komuniti yang dilaksanakan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

Projek berkenaan menerima Anugerah Tindakan Kelestarian bagi kategori Keterangkuman Sosial pada majlis penyampaian anugerah yang berlangsung pada 27 Ogos lalu.

Anugerah tersebut diterima Pengurus Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA, Saiful Bahari Amra Ramly, mewakili Pengurus Besar LCDA.

Turut hadir Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat LCDA, Sapheri Rosli.

Menurut LCDA, pengiktirafan itu mengetengahkan inisiatif yang memberi impak terhadap keterangkuman sosial dan pembangunan mampan menerusi Projek Pembangunan Semula Darul Hana.

Katanya, pendekatan pembangunan tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal, malah mengambil kira penglibatan pemegang taruh, transformasi sosioekonomi, kesejahteraan komuniti dan pembangunan semula bandar secara mampan.

Melalui projek itu, LCDA berusaha memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan komuniti setempat.

Pendekatan berteraskan komuniti tersebut turut mencerminkan usaha LCDA mewujudkan pembangunan yang mampu memberikan nilai dan manfaat jangka panjang kepada masyarakat, selain memperkukuh pelaksanaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Anugerah Tindakan Kelestarian Asia-Pasifik (APSAA) merupakan program anugerah kelestarian serantau anjuran Institut Tenaga Lestari Taiwan (TAISE) yang melibatkan penyertaan pelbagai organisasi dari rantau Asia-Pasifik.

Pengiktirafan itu turut mengukuhkan kedudukan LCDA dalam agenda pembangunan mampan serta komitmen organisasi untuk terus melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti dan pembangunan sosioekonomi Sarawak.