KUCHING, 24 November: Aktivis veteran Sarawak, Peter John Jaban, mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Batu Lintang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.
Peter John, yang sebelum ini memberi bayangan akan bertanding, berkata beliau mahu memperkukuh suara akar umbi di DUN dan memastikan isu setempat diberi perhatian sewajarnya tanpa mengira kaum atau kecenderungan politik penduduk.
“Sebagai aktivis, saya sentiasa mengambil sikap berkecuali supaya dapat membangkitkan isu tanpa memihak kepada mana-mana parti. Sejak awal, saya hanya mahu menyuarakan perkara penting yang memberi kesan kepada rakyat. Ketika itu, saya tidak berniat menceburi politik.
“Namun, landskap politik sudah berubah, baik di peringkat akar umbi mahupun di DUN. Saya melihat ruang untuk kerjasama yang lebih erat di bawah kepimpinan Premier sekarang, yang pada pandangan saya lebih mengutamakan prestasi daripada percaturan politik. Sebab itu saya percaya lebih banyak suara bebas perlu dibawa ke DUN,” katanya.
Peter John turut menghargai kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang disifatkannya telah menjalankan tugas dengan baik untuk Sarawak.
“Ketika Premier Sarawak memberi tumpuan kepada dasar dan projek pembangunan utama, kita memerlukan lebih banyak suara di DUN untuk membawa keperluan khusus penduduk setempat. Ada wakil rakyat yang perlu meningkatkan prestasi, terutama dalam mewakili suara akar umbi,” katanya.
Menjelaskan keputusannya bertanding sebagai calon Bebas, Peter John berkata majoriti besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu disertai perwakilan demokratik yang mencerminkan kepentingan penduduk.
Menurutnya, wakil rakyat Bebas boleh membawa pendekatan berbeza dengan mengetengahkan isu setempat dan mencadangkan dasar berdasarkan keperluan kawasan masing-masing.
“Politik pembangkang selama ini tidak berkesan di Sarawak. Dalam keadaan sekarang, peranan wakil rakyat Bebas yang memberi tumpuan kepada isu setempat dan mampu mengemukakan cadangan dasar daripada akar umbi menjadi semakin penting,” katanya.
Peter John berkata Batu Lintang mempunyai makna tersendiri baginya kerana beliau pernah menetap di kawasan itu selama bertahun-tahun, manakala anak-anak dan saudara-maranya masih tinggal di situ.
Beliau menyifatkan Batu Lintang sebagai sebahagian daripada kawasan asal bandar raya Kuching yang dekat di hatinya.
Katanya, penduduk di situ gigih bekerja dan turut menyumbang kepada pembangunan bandar raya itu, namun pada pandangannya kurang diberi perhatian selama beberapa dekad.
Menurutnya, pembangunan pesat di kawasan lain menyaksikan sebahagian Batu Lintang masih berdepan masalah infrastruktur yang semakin usang, penglibatan penduduk yang terhad dan kebimbangan mengenai nilai hartanah.
“Setiap pengundi di setiap kawasan berhak mendapat layanan saksama, keadilan dan bahagian yang adil daripada kemakmuran Sarawak,” katanya.
Peter John turut mengucapkan selamat maju jaya kepada calon lain di Batu Lintang dan mengakui sebahagian daripada mereka lebih berpengalaman di DUN serta pernah bertanding beberapa kali.
Beliau berharap dapat menawarkan pilihan baharu kepada pengundi menerusi manifesto yang dirangka khusus mengikut keperluan Batu Lintang.
Beliau juga berharap pencalonannya dapat menggalakkan pendekatan politik yang mendorong wakil rakyat berkhidmat kepada semua penduduk tanpa mengira pilihan mereka di peti undi atau kecenderungan politik masing-masing.
“Ini titik perubahan bagi demokrasi Sarawak. Kita perlu mencari pendekatan baharu,” katanya. Oleh Connie Chieng




