Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Dari pintu ke pintu, nyelupat warnai persiapan Gawai
  • Utara
  • WILAYAH

Dari pintu ke pintu, nyelupat warnai persiapan Gawai

Utusan Sarawak 3 hours ago
BEBERAPA bahan tradisional termasuk ai tuak disediakan sebagai sebahagian daripada ritual adat ringkas yang diamalkan oleh sesetengah komuniti Iban sebelum meneruskan persiapan Hari Gawai. 

BINTULU: Ketika jarum jam menghampiri sambutan Hari Gawai Dayak, suasana di rumah panjang mula berubah. 

Seawal 6.00 pagi 31 Mei, ruai yang lazimnya menjadi tempat pertemuan penghuni kembali hidup dengan pelbagai aktiviti persiapan perayaan, sekali gus menandakan bermulanya kemeriahan yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Di sinilah golongan wanita memainkan peranan penting menerusi aktiviti nyelupat, iaitu menganyam selupat daripada ‘daun biru’(sejenis tumbuhan daripada keluarga palma, terkenal dengan daunnya yang besar dan berlipat-lipat) yang akan digunakan untuk menyediakan ketupat. 

Aktiviti yang dilakukan secara beramai-ramai itu bukan sekadar memenuhi keperluan perayaan, tetapi turut menjadi ruang mengeratkan hubungan sesama penghuni rumah panjang.

Dari satu pintu ke satu pintu, wanita berkumpul di ruai sambil menganyam daun biru, bertukar cerita dan berkongsi pengalaman. 

Dalam suasana santai itu, kemahiran yang diwarisi daripada generasi terdahulu diperturunkan kepada golongan muda, memastikan tradisi terus kekal hidup meskipun berdepan perubahan zaman.

Sebelum aktiviti nyelupat diteruskan di ruai masing-masing, sesetengah komuniti Iban terlebih dahulu mengadakan ritual adat ringkas yang menjadi sebahagian daripada tradisi menyambut Hari Gawai. 

Ritual tersebut melibatkan penggunaan ayam dan ai tuak mengikut amalan adat setempat sebagai sebahagian daripada tradisi yang mengiringi persiapan sambutan Hari Gawai di rumah panjang.

SUASANA gotong-royong di ruai rumah panjang ketika penduduk bersama-sama menyiapkan selupat dan keperluan lain menjelang sambutan Hari Gawai Dayak. 

Bagi masyarakat Iban, ritual berkenaan bukan sekadar adat, tetapi mencerminkan penghormatan terhadap warisan nenek moyang yang telah membentuk kehidupan komuniti sejak sekian lama.

Walaupun bentuk pelaksanaannya mungkin berbeza mengikut kawasan, nilai yang dibawa tetap sama iaitu memupuk rasa syukur, perpaduan dan kebersamaan.

Hari Gawai sering dikaitkan dengan makanan tradisional, pakaian kebudayaan dan kunjungan sanak saudara, namun persiapan yang berlangsung sehari sebelumnya sebenarnya mempunyai makna yang tidak kurang penting. 

Aktiviti di ruai menjadi lambang semangat gotong-royong yang masih kukuh diamalkan dalam kehidupan masyarakat rumah panjang.

Dalam era moden yang menyaksikan perubahan gaya hidup dan teknologi, tradisi seperti nyelupat serta ritual adat menjelang Gawai terus menjadi penghubung antara masa lalu dan masa kini. 

Ia bukan sahaja memelihara identiti budaya masyarakat Iban, malah mengingatkan generasi muda tentang nilai kekeluargaan dan semangat komuniti yang menjadi asas kehidupan di rumah panjang.

Apabila malam Gawai semakin hampir, ruai yang sejak pagi dipenuhi bunyi perbualan dan gelak tawa akhirnya menyaksikan persiapan selesai dilakukan. 

Di sebalik anyaman selupat dan ritual adat yang dilaksanakan, tersimpan sebuah warisan yang terus dipelihara, menghubungkan setiap generasi melalui budaya yang kekal utuh merentas zaman.

Oleh Carolyne Utih

Continue Reading

Previous: Ibadah korban perkukuh ukhuwah, santuni asnaf di Kabong
Next: Perarakan Hari Wesak kukuhkan silaturahim, semangat perpaduan pelbagai kaum di Batu Niah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.