
MAKKAH: Siapa sangka, di tengah kota suci Makkah, jemaah Malaysia masih boleh menikmati nasi lemak, nasi kerabu dan nasi dagang serta pelbagai hidangan tempatan yang rasanya seakan-akan dimasak di kampung sendiri sekali gus menjadi ‘penawar rindu’ sepanjang menunaikan ibadah haji.
Di sebalik sajian yang membangkitkan selera itu, terselit usaha bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hairuddin Omar, yang kini beralih ke dunia perniagaan makanan di Makkah demi membawa cita rasa Malaysia lebih dekat kepada jemaah tanah air.
Beliau berkata idea membuka Kafe Citarasa Malaysia di Rehab Janadriyah, kira-kira 1.7 kilometer dari Masjidil Haram itu tercetus hasil pemerhatian terhadap jemaah yang sering merindui masakan tempatan sepanjang tempoh menunaikan ibadah haji.
“Bila berada lama di sini, sudah tentu mereka akan rindukan makanan Malaysia. Jadi saya mahu sediakan sesuatu yang boleh buat mereka rasa lebih dekat dengan rumah,” katanya ketika ditemui di sini.
Hairuddin berkata kafe itu mengangkat 100 peratus konsep cita rasa Malaysia dengan memastikan setiap hidangan dimasak menggunakan resipi asli dan bahan berkualiti.
Antara menu yang mendapat sambutan ialah nasi lemak, nasi kerabu, nasi dagang, asam pedas, lontong serta roti canai yang sukar ditemui di sekitar kawasan itu, sekali gus menjadi pilihan jemaah untuk memulakan hari.


Bagi memastikan keaslian rasa, Hairuddin membawa tiga tukang masak dari Malaysia dan menyediakan makanan di dapur berpusat di Kudai, di sini, sebelum dihantar ke kafe berkenaan.
Ketika musim haji, selain mengendalikan kafe, beliau turut membekalkan makanan ke beberapa hotel yang menempatkan ribuan jemaah Malaysia, sekali gus memberi lebih ramai peluang menikmati hidangan bercita rasa tanah air.
Hairuddin berkata fokus utama diberikan kepada penyediaan sarapan pagi memandangkan kebanyakan pakej haji hanya menyediakan makan tengah hari dan makan malam.
“Apabila soal makanan sudah selesai, jemaah tidak lagi terbeban dan boleh beri tumpuan sepenuhnya kepada ibadah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui berdepan pelbagai cabaran termasuk pematuhan peraturan keselamatan makanan di Arab Saudi, selain isu logistik dan bekalan bahan mentah yang memerlukan perancangan rapi.
“Sebahagian rempah ratus kita bawa dari Malaysia supaya rasa itu betul-betul asli dan dapat mengubat rindu jemaah,” katanya.
Operasi kafe yang bermula seawal 4.00 pagi hingga 10.00 malam itu turut disusun mengikut rutin harian jemaah, khususnya selepas waktu Subuh apabila permintaan sarapan meningkat mendadak.
Bagi Hairuddin, usaha itu bukan sekadar perniagaan, sebaliknya satu bentuk khidmat kepada jemaah yang datang dengan niat suci menunaikan rukun Islam kelima, sambil membawa sedikit rasa ‘rumah’ ke tanah perantauan. – Bernama