KUCHING: Dana RM10 juta diperuntukkan khas untuk pasca Covid-19 tahun ini, sebahagian besarnya belum habis digunakan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata setakat ini cuma RM3.7 juta daripada Dana Mudahcara Warisan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak 2022, digunakan.
“Saya berharap dapat meneruskan dana (baki dana) ini dibawa ke tahun depan tetapi tertakluk kepada kelulusan Pejabat Premier Sarawak.
“Dana ini diperuntukkan khas untuk pasca Covid-19 tahun ini di bawah Pejabat Premier dan setakat ini 81 permohonan diluluskan.
“Dana ini masih mempunyai baki kerana RM10 juta tidak dapat dihabiskan. Namun, kita masih perlu mendapat kelulusan Pejabat Premier Sarawak, untuk dibawa ke tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran Buku Kenang-kenangan dan majlis perasmian Forum Sastera anjuran Persatuan Puisi Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Seksyen Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Dr Elena Chai berkata pihaknya menaja enam penerbitan buku menggunakan dana tersebut.
Ini termasuk sebuah buku yang dilancarkan semasa majlis itu, tiga buku cerita rakyat pelbagai etnik di Sarawak dan sebuah buku bahasa Sebop, salah satu suku etnik minoriti di negeri ini.
“Tabung Kemudahan Kesenian, Kebudayaan dan Warisan ini adalah dana yang disalurkan oleh Pejabat Premier Sarawak dan sekarang kami sedang berusaha untuk membawa baki dana ini ke tahun depan.
“Setakat ini, permohonan untuk dana itu sudah ditutup, namun kami mempunyai geran lain bernilai RM35 juta untuk tujuan mempromosikan seni, budaya dan warisan,” katanya.
Hadir sama ialah Presiden Sarawak Poetical Society Ng Chek Yong.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Keterangan gambar
PENGHARGAAN… Ng Chek Yong menyampaikan cenderamata kepada Datuk Sebastian Ting pada majlis perasmian Forum Sastera anjuran Persatuan Puisi Sarawak di Grand Riverine Ballroom, di Kuching, hari ini.