
Foto: Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak
KUCHING: Kegiatan jenayah sebuah kumpulan curi motosikal yang aktif beroperasi di sekitar daerah ini sejak tahun lalu akhirnya tumpas apabila salah seorang anggotanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.
Lelaki berusia 23 tahun tersebut berdepan dengan tujuh pertuduhan mencuri motosikal dalam siri serbuan yang membongkar kegiatan haram mereka sejak tahun 2025 sehingga April tahun ini.
Berdasarkan kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di beberapa lokasi berasingan bersama empat rakan sejenayah lain.
Proses pendakwaan dijalankan secara berasingan di Mahkamah Majistret 1, 2, dan 3 Kuching membabitkan gandingan rakan sejenayah yang berbeza bagi setiap kes, manakala seorang lagi suspek dilaporkan masih bebas dan kini sedang giat dikesan oleh pihak polis.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum 1 tahun sehingga 7 tahun serta denda bagi setiap kesalahan yang disabitkan.

Dalam prosiding tersebut, tertuduh hanya mengaku bersalah bagi satu pertuduhan bersama seorang rakan sejenayah dan dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan.
Bagaimanapun, bagi enam lagi pertuduhan lain, tertuduh bersama tiga rakan sejenayahnya menyatakan tidak mengaku bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Walaupun mahkamah menawarkan jaminan, kesemua mereka gagal membayar jumlah yang ditetapkan lalu dihantar ke Penjara Puncak Borneo untuk menjalani hukuman sedia ada serta tahanan reman sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.
Susulan kejadian ini, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dalam menjaga keselamatan kenderaan masing-masing.
Pemilik motosikal disarankan untuk sentiasa menggunakan kunci tambahan, memasang alat pengunci cakera, dan mengelakkan daripada meletakkan kenderaan di kawasan yang sunyi tanpa pengawasan bagi mengurangkan risiko menjadi sasaran penjenayah.
Oleh Adi Safarman