Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Dakwat karbon, kulit haiwan warnai keunikan al-Quran lebih 1,000 tahun di Narathiwat
  • GLOBAL

Dakwat karbon, kulit haiwan warnai keunikan al-Quran lebih 1,000 tahun di Narathiwat

Utusan Sarawak 3 hours ago
MANUSKRIP al-Quran 1,000 tahun guna dakwat organik, kulit haiwan tarik perhatian.

NARATHIWAT: Senaskhah al-Quran berusia lebih 1,000 tahun yang dipamerkan di Muzium Al-Quran Melayu Raya di sini bukan sahaja menyimpan nilai sejarah Islam yang tinggi, malah mencerminkan kebijaksanaan masyarakat silam memanfaatkan bahan organik dalam penghasilan manuskrip suci itu.

Naskhah seberat kira-kira 50 kilogram itu dihasilkan pada era Bani Abbasiyah menggunakan 346 helaian kulit haiwan dan dakwat karbon berasaskan bahan semula jadi, sekali gus menjadikannya antara khazanah Islam purba yang unik dan bernilai tinggi.

Pegawai muzium Nik Ilham Nik Yusup berkata artifak tertua di muzium itu dihasilkan dengan ketelitian luar biasa apabila setiap helaian muka surat diperbuat daripada kulit haiwan yang diproses secara tradisional bagi menghasilkan lembaran tahan lama untuk penulisan al-Quran.

“Kesemua material asas ini dibawa khas dari daerah Hadramaut di bumi Yaman,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain penggunaan bahan semula jadi bagi menghasilkan lembaran manuskrip, proses penulisan kitab suci itu turut memperlihatkan kebijaksanaan masyarakat terdahulu memanfaatkan sumber alam sekitar secara optimum.

Beliau berkata kitab yang ditulis sepenuhnya menggunakan tulisan tangan gaya Khat Kufi Qadim itu menggunakan dakwat organik purba dikenali sebagai dakwat karbon.

“Masyarakat zaman dahulu menggunakan bahan yang boleh diperoleh terus daripada alam semula jadi. Campuran kayu dan kulit kurma dibakar untuk menghasilkan dakwat sebelum dipadukan dengan beberapa bahan organik lain dari hutan,” katanya.

Memandangkan naskhah itu dihasilkan sepenuhnya daripada elemen organik purba, kelangsungannya sehingga hari ini memerlukan proses konservasi yang amat teliti serta bebas daripada sebarang unsur kimia moden.

Nik Ilham berkata pihak muzium menjalankan kerja pembersihan dan baik pulih secara berkala setiap enam bulan tanpa menggunakan bahan pelarut moden.

“Permukaan helaian yang diperbuat daripada kulit haiwan ini sangat sensitif. Jika menggunakan bahan kimia atau cecair beralkohol, ia boleh menyebabkan dakwat asal pecah manakala tekstur lembaran pula akan rosak.

“Oleh sebab itu, kami hanya menggunakan kaedah pemuliharaan organik bagi menjaga nilai dan keaslian khazanah ini,” katanya.

Nik Ilham berkata naskhah berharga itu memulakan perjalanan dari Yaman ke Kepulauan Nusantara pada era pendakwah awal Syeikh Jumadil Kubra.

Beliau berkata manuskrip berkenaan pernah disimpan dan dipelihara di Indonesia selama 500 hingga 600 tahun sebelum dibawa masuk ke Narathiwat sekitar lima tahun lepas susulan pandemik COVID-19.

“Bagi memastikan warisan peradaban Islam yang tidak ternilai ini terus terpelihara, prosedur keselamatan ketat dilaksanakan dan artifak berkenaan tidak dibenarkan disentuh oleh pengunjung,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Wabak norovirus dilaporkan di kapal Persiaran Caribbean
Next: Perompak bank di Jerman masih diburu selepas insiden tebusan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.