
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan dalam julat kecil dengan kecenderungan neutral ketika pelabur terus meneliti perkembangan geopolitik serta pengumuman data ekonomi penting daripada negara ekonomi utama.
Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun risiko penurunan wujud, pasaran tempatan secara relatifnya terus mendapat sokongan pada paras semasa.
Secara keseluruhannya, kami menjangkakan indeks petunjuk utama bergerak dalam julat 1,670 hingga 1,700 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Berkongsi sentimen sama, Ketua Penyelidik Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata tumpuan utama akan disasarkan kepada mesyuarat dasar pertama Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Pengerusi baharu, Kevin Warsh pada minggu depan.
“Jangkaannya ialah bank pusat AS itu akan mengekalkan kadar faedah pada paras semasa. Pelabur akan turut memantau sebarang kemas kini terhadap unjuran ekonomi Fed, selain ulasan mengenai inflasi dan keadaan pasaran tenaga kerja berikutan kesemua faktor ini boleh mempengaruhi tempoh serta kadar pelarasan dasar di masa depan selain sentimen risiko global,” katanya.
Dari sudut teknikal, indeks petunjuk utama itu telah meningkat namun terus bergerak dalam julat konsolidasi, kata Leong.
“Sebarang pergerakan melepasi paras 1,687 mata boleh mendorong indeks itu ke arah paras rintangan segera pada 1,693 dan diikuti dengan paras psikologi 1,700.
“Sebaliknya, paras sokongan segera pada 1,672 dan diikuti dengan 1,665 mata,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia mencatat dagangan berhati-hati, sejajar dengan sentimen pasaran global yang suram apabila pelabur berdepan ketegangan geopolitik yang kembali meruncing di Asia Barat serta tekanan jualan ketara terhadap saham teknologi.
Langkah pembetulan ketara bagi saham semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) di AS itu turut memberi kesan ke atas pasaran Asia, termasuk Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan yang dagangannya digantung sementara pada Isnin selepas menjunam lebih lapan peratus.
Bagaimanapun, pada akhir minggu ini, sokongan belian ke atas kaunter saham mewah yang diniagakan pada penilaian lebih menarik, ternyata membantu meningkatkan prestasi Bursa Malaysia walaupun sentimen pasaran kekal berhati-hati.
Keadaan itu turut dipengaruhi oleh perkembangan di Asia Barat, turun naik harga minyak mentah serta ketidaktentuan mengenai prospek kadar faedah global.
Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, indeks utama susut 9.80 mata kepada 1,683.63 berbanding 1,693.43 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks pula menyaksikan Indeks FBM Emas merosot 127.44 mata kepada 12,474.62, Indeks FBMT 100 susut 125.96 mata kepada 12,315.94, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 147.85 mata kepada 12,422.30 manakala Indeks FBM Mid 70 menguncup 415.46 mata kepada 17,884.14 dan Indeks FBM ACE turun 64.57 mata kepada 4,668.67.
Dari segi prestasi sektor, Indeks Perladangan melonjak 80.54 mata kepada 8,752.08, Indeks Tenaga merosot 20.83 mata kepada 775.37, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 139.95 mata kepada 19,644.36 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.81 mata kepada 196.93.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 17.32 bilion unit bernilai RM13.74 bilion berbanding 10.73 bilion unit bernilai RM11.32 bilion pada minggu sebelumnya.
Di Pasaran Utama, jumlah dagangan menokok kepada 9.48 bilion unit bernilai RM12.06 bilion daripada 6.10 bilion unit bernilai RM10.31 bilion sebelum ini.
Jumlah waran meningkat kepada 5.28 bilion unit bernilai RM815.97 juta daripada 2.97 billon unit bernilai RM406.42 juta pada minggu lepas.
Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE melonjak kepada 7.46 bilion unit bernilai RM854.07 juta daripada 1.65 bilion unit bernilai RM600.11 juta dalam minggu sebelumnya. – Bernama