SERIAN: Kerajaan Sarawak akan membangunkan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk pertanian (CPPC) mini di kawasan Teng Bukap, di sini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas meluluskan CPPC mini di Teng Bukap untuk membantu para petani setempat sekitar kawasan berkenaan.
“Seterusnya saya akan berbincang dengan pihak berwajib untuk menaik taraf jalan ladang bagi memudahkan para petani di kawasan ini mengangkut hasil tanaman,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata demikian pada Majlis Taklimat Pembangunan Pertanian dan Agrotani kawasan N20 di Dewan Teng Bukap di sini semalam.
Terdahulu Uggah juga meluluskan sebanyak 1,000 tong sistem fertigasi untuk kawasan DUN Tarat sebagai galakan kepada petani setempat menyertai pertanian moden.
Uggah mengakui bantuan berkenaan bertujuan untuk menggalakkan para petani di kawasan itu menggunapakai sistem fertigasi bagi menggantikan sistem pertanian sedia ada.
“Cara pertanian moden ini membantu mereka (petani) menghasilkan tanaman yang boleh dikomersial dalam masa yang sama untuk menjana pendapatan mereka,” katanya.
“Kita mahu menggalakkan ramai petani menggunakan sistem fertigasi terutamanya untuk menanam terung asam, cili dan sebagainya,” ujarnya.
Kedua-dua permohonan berkenaan telah disebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Datuk Roland Sagah dalam majlis yang sama.
Menurut Sagah peruntukan yang dipohon adalah untuk menaik taraf jalan ladang bagi kemudahan para petani membawa hasil tanaman terutama durian dan sayur-sayuran keluar dari kawasan berkenaan.
“Penduduk kampung perlu berjalan kaki selama dua hingga tiga jam untuk pergi ke kebun mereka.
“Sekiranya jalan raya dibina maka kenderaan dapat masuk yang akan menjimatkan masa mereka,” jelasnya.
Manakala meminta CPPC mini dibina di Teng Bukap untuk diusahakan bersama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Siburan dan PPK Serian kata Sagah bertujuan sebagai kemudahan kepada para petani mengembangkan kemahiran selain inisiatif perniagaan.
Turut hadir Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail.
Oleh Diyana Samsuddin