KUCHING: Dua lagi kes positif Covid-19 dilaporkan di daerah Kuching, semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, dua kes ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat Ahad adalah sebanyak 579 kes.
“Kes pertama ialah kes yang ke-578, seorang wanita warga tempatan yang berumur 44 tahun. Beliau telah membuat pemeriksaan kendiri di Borneo Medical Centre (BMC) Kuching pada 11 Julai lalu.
“Siasatan lanjut ujian makmal untuk rT-PCR COVID-19 mendapati ujian swab nasopharyngeal dan oropharyngeal beliau adalah positif untuk Covid-19 pada 12 Julai lalu.
“Kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala,” ujarnya dalam satu kenyataan laporan harian Covid-19.
Beliau berkata, kes 578 telah dirujuk dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Pengesanan kontak sedang dilakukan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Sekretariat berkata, bagi kes kedua ialah kes yang ke-579 adalah kes kontak rapat kepada kes Ke-575 iaitu rakan sekerja, yang melibatkan seorang lelaki, juga warga tempatan.
“Beliau telah menjalankan saringan di BMC pada 11 Julai lalu dengan menggunakan kaedah swab rT-PCR dan mendapati beliau adalah positif untuk Covid-19 pada pada hari sama.
“Beliau tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala dan telah dirujuk ke HUS untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Tambahnya, pengesanan kes ke-579 ini juga telah mewujudkan kluster baharu di tempat kerja yang mana setakat semalam telah melibatkan seramai dua kes disahkan positif Covid-19 iaitu Kluster Syarikat Kejuruteraan Kuching.
“Kawalan dan pencegahan jangkitan merebak sedang giat dijalankan dengan mengenalpasti semua kontak untuk dilakukan saringan Covid-19.
“Dimaklumkan juga tiada kes baharu yang telah sembuh dan discaj dari hospital hari ini (semalam),” katanya.
Beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 552 orang atau 95.34 peratus.
“Seramai sembilan orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital dan jumlah kematian kekal 18 orang atau 3.11 peratus.
“Hari ini (semalam) sebanyak 45 pengesanan kes yang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan lima kes masih menunggu ujuan makmal,” jelasnya.
Oleh Alexandra Lorna