RENNES semalam mengakui bahawa mereka sedang berunding dengan Chelsea mengenai perpindahan Edouard Mendy, ketika kelab Liga Perdana Inggeris itu ingin meneruskan perbelanjaan besar musim panas mereka dengan mengintai penjaga gawang dari Senegal itu.
Pasukan Blues kendalian Frank Lampard telah mengeluarkan hampir 200 juta pound pada musim ini dengan menandatangani Timo Werner, Kai Havertz, Hakim Ziyech dan Ben Chilwell, dan mencari penjaga gol baharu setelah persembahan mengecewakan Kepa Arrizabalaga.
“Perbincangan telah dimulakan, tetapi kami masih dalam fasa perbincangan, belum ada kesepakatan saat ini, jauh dari itu,” kata presiden Rennes, Nicolas Holveck kepada wartawan ketika memperkenalkan Serhou Guirassy, yang ditandatangani dari Amiens.
Mendy, 28, kelahiran Perancis, tiba di Rennes musim panas lalu dan merupakan orang penting dalam membantu pasukan menduduki tempat ketiga di Ligue 1 Perancis musim lalu dan layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA buat pertama kalinya dalam sejarah mereka.
Perpindahan ke Chelsea akan menjadi satu lagi langkah ke hadapan bagi pemain yang berjaya mencapai jajaran bola sepak Perancis sebelum akhirnya tiba di liga teratas bersama Reims pada tahun 2018, pada usia 26 tahun.
“Saya dapat memahami keinginan Edouard, dia telah berbicara dengan kami tentang hal itu. Tetapi dia sebenarnya tidak berada di kelab terburuk di Eropah,” tambah Holveck.
“Buat masa ini dia bersama Rennes dan merupakan sebahagian daripada kelab kami.” – AFP