LONDON: Enzo Maresca menegaskan kekalahan Chelsea di tangan Liverpool pada final Piala Liga tahun lalu menjadi bukti The Reds memiliki kelebihan berbanding Chelsea untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Chelsea ketika ini berada di tangga kedua dengan 35 mata, empat mata di belakang pendahulu, Liverpool
Chelsea akan berdepan Fulham dalam aksi derbi London Barat esok.
Namun Maresca secara konsisten menafikan anak buahnya mampu menjadi pencabar kejuaraan memandangkan ia terlalu awal untuk pasukan mudanya itu.
Maresca menerima bahawa kedudukan mereka ketika ini memberi refleksi tepat mengenai kemampuan pasukannya namun tetap mengakui Liverpool ada kelebihan berbanding Chelsea.
“Saya rasa, realitinya ketika ini adalah kami berada di tangga kedua, bukannya di tangga kedua selepas empat atau lima perlawanan di mana kedudukan pada masa itu bukanlah kedudukan yang sebenar,” kata Maresca.
“Kita sudah menghampiri separuh musim di perlawanan ke-17, jadi mungkin ini sedikit sebanyak memberi gambaran mengenai kemampuan pasukan ini dengan melihat di mana ia berada.
“Sudah tentu Liverpool menunjukkan aksi yang baik sejak hari pertama. Skuad mereka sudah berada dalam situasi di mana mereka memenangi trofi, jadi ini satu perkara yang penting.
“Saya pernah katakan sebelum ini ketika Liverpool menentang Chelsea pada final Piala Liga. Saya lihat jumlah perlawanan final yang pernah diharungi pemain Liverpool, ia perbezaan yang besar dengan pemain Chelsea.
“Ini menunjukkan anda perlukan pengalaman untuk menghadapi situasi ini, untuk terus meningkat dan lebih dekat (dengan kejuaraan) tetapi saya gembira di mana kami berada ketika ini,” tambahnya.