
BINTULU: Dewan Perniagaan Perusahaan China di Malaysia (CECCM) menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu bagi membantu mangsa banjir yang terjejas akibat bencana yang melanda baru-baru ini.
Pengerusi CECCM Cawangan Sarawak, Jia Yun Jian berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka bagi meringankan beban penduduk yang terkesan.
“Sebaik sahaja banjir berlaku, kami segera melancarkan kempen derma kecemasan bertemakan ‘Bersama Mengharungi Cabaran, Menyampaikan Keprihatinan’.
“Kempen ini mendapat sambutan luar biasa daripada syarikat China yang beroperasi di Malaysia, membolehkan dana dikumpulkan dalam tempoh singkat,” katanya pada majlis penyerahan replika cek berkenaan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurutnya, dana itu akan digunakan untuk penyediaan penempatan sementara, bantuan perubatan serta pemulihan infrastruktur asas bagi mempercepatkan proses pemulihan pasca-banjir.
Beliau turut menzahirkan solidariti bersama masyarakat tempatan, sambil menegaskan bahawa syarikat China yang beroperasi di Sarawak sejak sekian lama sentiasa komited dalam membantu ketika waktu sukar.
“Ibarat lalang diuji ketika angin kencang, persahabatan sejati teruji di saat kesusahan.
“Kami yakin rakyat Bintulu yang tabah dan cekal akan bangkit semula dengan lebih kuat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainudin Abang Turkey, menyifatkan banjir kali ini sebagai yang paling buruk dalam sejarah daerah berkenaan.
“Seorang penduduk yang telah menetap di Bintulu selama hampir 60 tahun menyifatkan banjir ini adalah kejadian paling teruk yang pernah dialaminya.
“Namun, dengan doa dan bantuan semua pihak, kita berjaya mengharunginya,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan kerja-kerja pemulihan pasca-banjir termasuk pembersihan kawasan, pembaikan jambatan, serta bantuan kepada kawasan terjejas lain seperti Sebauh dan Tatau.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada CECCM dan semua pihak yang hadir dari seluruh negara untuk bersama membantu.
“Ini membuktikan bahawa dalam waktu sukar, kita boleh bersatu untuk meringankan beban mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih