PADAWAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin cemas seketika apabila tidak menjumpai kad pengenalannya (IC) ketika tiba di pusat mengundi pagi ini.
Setelah beberapa minit mencari, akhirnya beliau menjumpai kad pengenalannya itu.
“Pada hari penamaan calon tempoh hari, saya menyimpan IC ini bersama kertas-kertas di dalam beg.
“Ia tersembunyi. Saya agak panik sebentar tadi,” katanya ketika ditemui selepas mengundi bersama isterinya di pusat mengundi, Sekolah Rendah Bantuan(SRB) Chung Hua Batu 15, di sini.
Pada mulanya susana agak tenang, tetapi Willie kelihatan gelabah mencari kad pengenalan tapi akhirnya dijumpai.
Beliau dan isteri tiba jam 8.25 pagi.
Pusat mengundi itu dibuka pada 7.30 pagi hingga 4.00 petang ini.
Difahamkan seramai 1,595 pemilih akan mengundi di situ dan terdapat dua saluran mengundi disediakan.
Parlimen Puncak Borneo menyaksikan jumlah pengundi pada kali ini 79,969 iaitu peningkatan 33, 669 berbanding jumlah pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) (46,300) iaitu naik 73 peratus.
Pengundi Bumiputera merangkumi
74 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi Parlimen Puncak Borneo manakala 26 peratus lagi bukan Bumiputera.
Parlimen Puncak Borneo menyaksikan saingan tiga penjuru dalam PRU-15 melibatkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Willie Mongin, calon Pakatan Harapan (PH) Diog Dios dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Iana Akam.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan NEENATUL AIZAL