DARO: Hanya calon yang bersih setelah tiga peringkat tapisan, dipilih untuk bertanding atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata tapisan itu akan dilakukan apabila memilih calon termasuk kemungkinan 12 muka baharu.
Berikutan itu katanya, calon berpotensi akan menjalani tapisan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.
“Jika lulus tapisan ini, mereka akan diletakkan sebagai calon. Jika gagal, mereka tidak akan menjadi calon,” katanya.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan komplek sukan Daro di sini, petang kelmarin.
Beliau berkata, kemungkinan besar GPS akan meletakkan seramai 12 muka baharu dan muda sebagai calonnya bagi 12 kerusi yang tewas pada PRU-14.
“Kerusi terbabit ialah Lubok Antu, Mas Gading, Puncak Borneo, Saratok, Julau, Selangau, Sarikei, Sibu, Lanang, Miri, Bandar Kuching dan Stampin.
“Siapa yang akan menjadi calon bagi 12 kerusi itu? Tunggu pada hari kita umumkan calon kita,” katanya.
Beliau berkata, sudah menjadi amalan dalam PBB termasuk parti komponen GPS lain untuk melahirkan ‘darah’ baharu bagi menggantikan pemimpin lama apabila tiba masa mereka berundur.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyandang daripada parti itu yang sudah menawarkan diri untuk berundur bagi memberi laluan kepada muka baharu,” katanya.
Mengenai kemungkinan GPS memenangi kesemua 31 kerusi dalam PRU-15, Premier Sarawak itu berkata, masih terlalu awal untuk meramalkan perkara itu.
“Bagaimanapun, berdasarkan sentimen di lapangan, kami dalam GPS telah membuktikan rekod prestasi kami dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Itu antara beberapa perkara yang kami capai dalam siri perbincangan kami dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Abang Johari berkata, terdapat tiga perkara penting kepada Sarawak, dengan yang pertama adalah formula munasabah bagi peruntukan geran khas tahunan seperti yang ditetapkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi perkara ini, Kerajaan Pusat bersetuju memasukkan penjawat awam negeri (wakik) dari Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya.
Katanya, perkara lain melibatkan pentadbiran mahkamah undang-undang Sarawak yang akan menjadi perkara kedua yang akan terus diperjuangkan oleh negeri ini.
“Sebelum ini, kita ada Mahkamah Borneo dan Mahkamah Malaya di mana peguam di luar Sarawak tidak dibenarkan berlatih (mengamal) di negeri ini. Jadi kita mahu mengekalkan peraturan itu dan juga dari aspek mengiktiraf Mahkamah Borneo.
“Tetapi sekarang kita ada Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dan kita mahu ia dikembalikan seperti dahulu.
“Kita juga mahu pelantikan pesuruhjaya kehakiman dirujuk kepada Yang Dipertua Negeri (TYT) terlebih dahulu kerana itu adalah hak TYT kita. Kita mesti menyimpan kuasa tertentu untuk menimbang calon untuk menjadi pesuruhjaya kehakiman,” katanya.
Abang Johari berkata, perkara ketiga ialah pengiktirafan jabatan teknikal oleh Kerajaan Persekutuan dalam pelaksanaan projek persekutuan di negeri ini.
“Kita mahu projek persekutuan yang dilaksanakan di negeri ini diselia oleh jabatan teknikal kita seperti Jabatan Saliran dan Pengairan, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar dan Jabatan Kerja Raya,” katanya.
Abang Johari turut mengakui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memahami dan mengetahui keperluan Sarawak.
“Jika Kerajaan Pusat tidak bekerjasama dengan kerajaan negeri, mereka ada masalah dan kita juga ada masalah. Maknanya saya sudah ada alternatif, anda mesti faham konsep federalisme.
“Kita ada persekutuan di mana ada kuasa di bawah negeri dan ada kuasa di bawah persekutuan mengikut apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan IGC. Ada kuasa yang kita kongsi dan ada kuasa dalam diri kita,” katanya.





