SERIAN: Beberapa nama telah dikenal pasti untuk menjadi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Mambong dan Opar.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, keputusan untuk memilih calon yang layak bertanding di kawasan berkenaan terserah kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Kita menyerahkan keputusan akhir ini kepada Ketua Menteri kerana beliau mempunyai kuasa untuk melantik calon, ”katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Input Pertanian dan Penternakan di Dewam Tayung Langui Kampung Pichin, Tebedu, semalam.
Tambahnya, terdapat lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikenal pasti sebagai kerusi majoriti Bidayuh.
“Selain Mambong dan Opar, enam yang lain adalah Tasik Biru, Serembu, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.
“Hanya kerusi Opar yang sekarang tidak diwakili GPS,” ujarnya.
Menurut Manyin, GPS juga sedang melihat siapa calon lawan di kerusi Bidayuh tersebut agar lebih bersedia.
“Saya akan bekerja keras dan akan memastikan semua lapan kerusi Bidayuh dimenangi GPS, dengan majoriti yang baik. Itu adalah matlamat saya,” tegasnya.
Oleh Nur Ain Otsman