KOTA SAMARAHAN: Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili mengakui bakal hilang wang deposit dalam cubaan kali pertamanya bertanding kerusi Parlimen Kota Samarahan.
Perkara ini didedahkan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sebentar tadi.
Hal ini diberitahu oleh Abang Abdul Halil pada hari penamaan calon Sabtu lalu. Penyandang kerusi Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang ditampil Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mempertahankan kerusi itu.
“Beliau (Abang Abdul Halil) sendiri yang menyatakan pada saya dirinya akan hilang (wang) cengkeram pada hari penamaan calon. Katanya ‘jangan kitak susah kelak saya hilang cengkeram’.
“Dirinya yang tidak asing lagi pernah bertanding (kerusi DUN) sebelum ini di Sarawak. Kalau dulu di Sibu, Kuching dan kini di Kota Samarahan. Kalau tidak silap saya beliau juga hilang (wang) cengkeram.
“Harapan saya kepada pengundi Kota Samarahan hilangkan benar-benar cengkeram parti lawan kita kelak. Dirinya sendiri sudah tidak yakin akan menang,”katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera GPS P197 Kota Samarahan di sini malam ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rubiah menang kerusi berkenaan setelah menerima 25, 070 undi, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS dengan majoriti 16,992 undi.
Abdul Karim meminta pengundi di Samarahan dan Sarawak keseluruhannya untuk tunjukkan kepada parti di Semenanjung Malaysia bahawa GPS di Sarawak boleh menang besar.
“PRU-15 kali ini amat penting sekali. Ini adalah untuk memilih Kerajaan Pusat yang stabil. Banyak juga hak-hak kita yang telah terhakis.
“Sebab itulah tanggungjawab GPS untuk mengembalikan hak-hak Sarawak. Jadi kita hantar mereka (calon GPS) yang boleh berbicara dalam Parlimen dan tidak gentar.
“Parti GPS adalah parti tempatan. PRU-15 kali ini jumlah pengundinya berganda. Makin besar undi makin besar majoriti,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA