KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diunjur mengekalkan trend diniagakan tidak berubah minggu depan sehingga terdapat pemangkin baharu, kata Rakuten Trade Sdn Bhd.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuitinya Thong Pak Leng berkata firma pembrokeran itu menjangkakan dagangan lengang berikutan cuti umum Krismas diikuti cuti Tahun Baru.
Thong berkata, dari segi teknikal, prospek jangka pendek FBM KLCI kekal berhati-hati, mencerminkan momentum perlahan dan isyarat pemulihan yang lemah manakala pemulihan jangka sederhana memerlukan pergerakan harga yang mantap, melebihi purata pergerakan eksponen 50 hari (EMA).
“Prospek jangka panjang pula kekal memberangsangkan selagi paras sokongan utama dikekalkan,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya bagi dagangan jangka pendek, peniaga perlu berwaspada dengan paras 1,590 dan 1,610 manakala pelabur jangka panjang mungkin mempertimbangkan untuk mengumpul sehingga hampir 1,570, memfokuskan kepada saham dengan asas kukuh.
“Kami menasihatkan pelabur untuk memantau dengan teliti garisan pertumpuan-pencapahan purata pergerakan (MACD) untuk persilangan meningkat memandangkan ini berupaya menjadi petunjuk awal pemulihan,” kata Thong.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berpendapat pasaran dijangkakan perlahan minggu depan seperti kebiasaan yang berlaku pada musim cuti.
Menurut Innes, pasaran diunjur mengekalkan pendirian neutral sekiranya terdapat kejutan geopolitik.
“Bagaimanapun, memandangkan Donald Trump adalah presiden dipilih Amerika Syarikat, tiada jaminan untuk laporan berita yang kekal tenang.
“Oleh itu, sentimen dijangka kekal berhati-hati berikutan peserta pasaran terus berwaspada dengan apa-apa perkembangan tidak dijangka,” kata Innes.
Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI rendah 17.34 mata kepada 1,591.41 daripada 1,608.75 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas susut 133.13 mata kepada 12,222.94, Indeks FBMT 100 berkurangan 128.68 mata kepada 11,908.60 dan Indeks FBM 70 rendah 1964.74 mata kepada 18,377.47.
Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 150.38 mata kepada 12,221.81 dan Indeks FBM ACE turun 41.51 mata pada 5,268.65.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 414.08 mata kepada 18,703.35, Indeks Perladangan susut 137.78 mata kepada 7,497.27 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan menokok 3.75 mata kepada 2,337.41.
Indeks Teknologi pula menyusut 0.20 mata kepada 63.50, Indeks Tenaga rendah 15.89 mata kepada 804.11 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 5.51 mata kepada 170.26.
Jumlah dagangan menokok kepada 15.30 bilion unit bernilai RM13.97 bilion daripada 14.46 bilion unit bernilai RM12.43 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 8.10 bilion saham bernilai RM12.79 bilion daripada 7.4 bilion saham bernilai RM11.18 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan waran susut kepada 4.31 bilion unit bernilai RM450.37 juta berbanding 4.53 bilion unit bernilai RM606.64 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 2.22 bilion saham bernilai RM731.38 juta berbanding 2.14 bilion saham bernilai RM637.07 juta minggu lepas. – Bernama