KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunannya ditutup rendah bagi hari keempat berturut-turut hari ini dengan indeks petunjuk pasaran mencecah paras terendah baharu bagi tahun ini apabila para pelabur menjual saham mereka.
Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 7.21 mata, atau 0.52 peratus kepada 1,373.36 daripada paras penutup 1,380.57 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 4.29 mata kepada 1,384.86, sebelum menyusut semula pada sesi pertengahan tengah hari.
Ia diniagakan antara paras intra hari terendah pada 1,372.57 dan paras intra hari tertinggi pada 1,385.07.
Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 521 berbanding 321, manakala 353 kaunter tidak berubah, 1,151 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.03 bilion unit bernilai RM1.69 bilion daripada 1.85 bilion unit bernilai RM1.56 bilion pada Rabu.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI kekal negatif selepas dagangan lengang yang disebabkan oleh ketiadaan pemangkin belian.
“Bagaimanapun, kami percaya FBM KLCI berada dalam situasi terlebih jualan yang melampau.
“Oleh itu, kami berpandangan mungkin aktiviti membeli saham berharga rendah akan muncul dan melonjakkan indeks petunjuk pasaran tinggi sedikit dalam jajaran 1,370 -1,390 menghala ke hujung minggu,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata, pasaran utama serantau juga rata-ratanya ditutup rendah menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat (AS) apabila para pelabur bimbang inflasi ekonomi terbesar dunia itu masih lagi tinggi yang akan menyebabkan Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan lagi kadar faedah dengan agresif.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM8.47, Public Bank turun lima sen kepada RM4.17 dan Petronas Chemicals berkurangan 10 sen kepada RM8.45.
CIMB kekal tidak berubah pada RM5.30 manakala IHH Healthcare naik enam sen kepada RM5.60.
Dalam kalangan kaunter cergas, Top Glove naik 5.5 sen kepada 69 sen, MYEG turun sembilan sen kepada 79 sen dan Citaglobal jatuh 1.5 sen kepada 27 sen.
Supermax dan Careplus naik 6.5 sen setiap satu masing-masing kepada 77.5 sen dan 31.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 53.88 mata kepada 9,798.52, FBM 70 turun 98.22 mata kepada 11,841.14 dan Indeks FBMT 100 menguncup 57.03 mata kepada 9,546.98.
Indeks FBM Emas Shariah turun 54.09 mata kepada 9,767.54 dan FBM ACE berkurangan sebanyak 13.72 mata kepada 4,617.65.
Mengikut sektor Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 60.45 mata kepada 15,863.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.73 mata kepada 168.51, Indeks Perladangan berkurangan 16.50 mata kepada 6,348.02 dan Indeks Tenaga jatuh 6.83 mata kepada 667.95.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.39 bilion saham bernilai RM1.51 bilion daripada 1.11 bilion saham bernilai RM1.37 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 235.42 juta unit bernilai RM39.46 juta daripada 364.45 juta unit bernilai RM48.22 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 406.04 juta saham bernilai RM139.86 juta daripada 375.39 juta saham bernilai RM140.89 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 180.81 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (348.52 juta), pembinaan (34.88 juta), teknologi (168.28 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.95 juta), hartanah (123.75 juta), perladangan (13.94 juta), REITs (4.71 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (93.79 juta), penjagaan kesihatan (276.28 juta), telekomunikasi dan media (38.37 juta), pengangkutan dan logistik (26.53 juta) dan utiliti (13.09 juta). – Bernama