KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka kekal tinggi minggu depan, disokong oleh penilaian menarik, keuntungan korporat yang kukuh dan keadaan ekonomi bertambah baik.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, pihaknya yakin dengan daya tarikan penilaian ekuiti Malaysia.
“Kami positif dengan daya tarikan penilaian ekuiti Malaysia justeru, kami menjangkakan momentum belian akan berterusan minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, jumlah dagangan harian yang meningkat menunjukkan keadaan lebih baik dalam keseluruhan sentimen.
Indeks penanda aras tempatan juga meningkat semula dan menguji di atas Purata Pergerakan Eksponen (EMA) 20 hari, semalam.
Thong berkata, pihaknya masih menjangkakan keadaan pasaran tidak menentu walaupun FBM KLCI mengalami peningkatan semula yang kecil selain EMA 20 hari dan 50 hari menunjukkan isyarat peningkatan yang menandakan peralihan berpotensi kepada aliran positif dalam sesi akan datang.
“Kami mengunjurkan keadaan tidak banyak berubah ini akan berlanjutan, dengan indeks penanda aras itu bergerak pada EMA 20 hari. Jika tekanan jualan yang masih ada berterusan, mungkin ia menguji semua paras 1,508 hingga 1,520.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks didagangkan dalam julat 1,540 hingga 1,570 minggu depan, dengan sokongan serta-merta pada 1,520 diikuti 1,508 manakala paras rintangan pada 1,557 diikuti 1,575,” katanya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI menambah 12.97 mata kepada 1,552.83 daripada 1,539.86 minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 119.61 mata kepada 11,543.59, Indeks FBMT 100 menambah 117.25 mata kepada 11,205.30, Indeks FBM 70 melonjak 261.26 mata kepada 15,664.64, Indeks FBM Emas Syariah menokok 167.62 mata kepada 11,591.60 dan Indeks FBM ACE menokok 20.01 mata kepada 4,709.06.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 92.11 mata kepada 17,276.63, Indeks Tenaga meningkat 12.43 mata kepada 916.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.73 mata kepada 176.89 dan Indeks Perladangan kurang 23.98 mata kepada 7,292.35.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 20.96 bilion unit bernilai RM15.95 bilion daripada 17.37 bilion unit bernilai RM13.36 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 13.79 bilion saham bernilai RM14.54 bilion daripada 9.26 bilion saham bernilai RM11.97 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan waran sebanyak 4.30 bilion unit bernilai RM534.73 juta berbanding 5.14 bilion unit bernilai RM681.73 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE pula susut kepada 2.79 bilion saham bernilai RM869.22 juta daripada 2.88 bilion saham bernilai RM701.42 juta. – Bernama