JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri warga Indonesia masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, selepas mengaku bersalah membunuh majikan mereka di Kulai, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Bartolomeus Fransceda dan Ekalia, kedua-duanya berusia 23 tahun.
Bartolomeus turut dikenakan 12 kali sebatan dan hukuman ke atas pasangan suami isteri bermula daripada tarikh tangkap.
Pada 29 November, pasangan suami isteri itu telah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi yang sama.
Bartolomeus yang merupakan tukang kebun dan Ekalia sebagai pembantu rumah, masing-masing berusia 20 tahun ketika itu, didakwa bersama-sama membunuh wanita warga emas Lau Yen Na, 73, di sebuah rumah di Jalan Anak Bukit, Palm Resort Senai, Kulai, 2.00 petang, 17 Mac 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau jika tidak dihukum dengan hukuman gantung hendaklah dihukum penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Abu Bakar dalam penghakimannya berkata hukuman ke atas tertuduh itu, dibuat selepas menghalusi hujahan lisan dan bertulis mitigasi peringanan hukuman yang dikemukakan oleh peguam tertuduh, hujahan pemberatan hukuman oleh Timbalan Pendakwa Raya serta menimbangkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
“Mahkamah ini turut mengambil kira kenyataan impak mangsa dan fakta kes yang dibentangkan oleh pendakwaan serta prinsip-prinsip penghukuman,” katanya.
Berdasarkan siasatan dan analisa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, kedua-dua tertuduh didapati membunuh mangsa menggunakan sebuah cangkul kecil dua mata tajam berukuran 50 sentimeter.
Kedua-dua tertuduh didapati menggunakan cangkul tersebut untuk memukul bahagian kepala warga emas itu ketika dia (mangsa) sedang berehat, sebelum melarikan sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard dan telefon bimbit milik mangsa.
Selepas kejadian itu, kedua-dua tertuduh bertolak ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan rakan mereka bagi mencari kerja baharu, sebelum kedua-duanya ditangkap di sebuah restoran di Petaling Jaya, Selangor pada 21 Mac 2020.
Sebelum ini, hasil analisa patologi menjelaskan bahawa punca kematian mangsa ialah kecederaan di kepala, manakala hasil analisa ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati DNA mangsa ada pada senjata itu selain DNA tertuduh wanita turut dikesan pada sarung bantal.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ooi Pen Lyn. – Bernama