KUALA LUMPUR: Acara industri permainan video terulung, LEVEL UP KL bagi sesi awam secara maya sepenuhnya anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang berlangsung selama dua hari, menghubungkan perniagaan, penerbit permainan dan pemain ekosistem.
Di bawah siri LEVEL UP, LEVEL UP PLAY-ONE ialah festival permainan yang terbuka kepada orang ramai, manakala LEVEL UP SPACEBAR pula memberi tumpuan kepada aspek perniagaan dalam ekosistem itu.
Naib Presiden Kandungan Kreatif Digital MDEC, Hasnul Hadi Samsudin berkata, LEVEL UP telah menerima 3.8 juta tontonan, menarik minat 139,935 penonton unik di Facebook dan menghasilkan 22 sesi penstriman membabitkan permainan dan kandungan berkaitan industri.
Beliau berkata kepelbagaian penceramah, rakan dan peserta yang menyertai acara itu telah memberi kelebihan untuk LEVEL UP KL mengatur semula dan memperluaskan acara itu susulan pandemik yang berlaku.
“Walaupun masih berpegang kepada tema membawa komuniti permainan digital untuk bersama-sama meneroka, membangunkan dan memperkasa sukan dan industri e-sukan di Malaysia, saya berpendapat, pada tahun ini, kita telah pergi lebih jauh daripada itu,” katanya dalam kenyataan semalam.
LEVEL UP KL menampilkan pelbagai pameran permainan, panel perbincangan dan aktiviti-aktiviti berasaskan webinar yang membawakan 16 penceramah dari seluruh Asia Tenggara.
Sementara itu, diiktiraf sebagai acara maya kali pertama bagi ekosistem permainan video di Malaysia, LEVEL UP PLAY-ONE ialah gabungan unik webinar dan ceramah, pertandingan dan sesi penstriman.
Ia mengumpulkan wakil pelbagai bidang dalam industri permainan antaranya pemaju permainan, penstrim kandungan dan pengendali e-sukan untuk berkongsi pengetahuan mereka mengenai pelbagai peluang dan cabaran yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 yang masih berlarutan ini.
Kesemuanya dirancang khas untuk mempamerkan dan berkongsi mengenai permainan dan ekosistem e-sukan di seluruh negara dan merangkumi enam negara, selain turut menerima kehadiran dari Rusia dan Poland.
Sementara itu, LEVEL UP SPACEBAR yang bertujuan memperluas keupayaan kerjasama bagi industri permainan dan e-sukan di Malaysia dan Asia Tenggara, berlangsung mulai semalam.
Ia mengalu-alukan kehadiran pelbagai perniagaan melibatkan industri permainan video dan e-sukan, pelabur, pendidik dan pelajar, pemaju permainan dan penerbit permainan untuk bertemu dan berkomunikasi antara satu sama lain.
Penggiat perniagaan dan ekosistem pula dapat mempelajari bagaimana industri menangani isu-isu hangat antaranya usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran mengenai salah faham terhadap e-sukan dan mengklasifikasikan ketagihan permainan dengan baik dan menangani isu jantina yang berat sebelah.
Selain itu, acara berkenaan juga membawakan perbincangan persepsi yang lebih luas mengenai permainan yang kini dilihat sebagai penyumbang ekonomi dan menghasilkan pekerjaan.
Menerusi LEVEL UP dan pelbagai inisiatif yang lain, MDEC berharap untuk mengembangkan lagi pasaran permainan digital di Malaysia yang kini beroperasi dalam saiz pasaran melibatkan kira-kira RM3 bilion.
“Ketika ini, perolehan disumbangkan terutamanya oleh permainan telefon pintar, diikuti segmen permainan konsol yang berkembang pantas.
“Pemain wanita juga kini menjadi komuniti yang penting di seluruh rantau ini dengan Malaysia mempunyai bahagian tertinggi bagi pemain wanita berusia 10 hingga 20 tahun dan berjaya mengubah naratif industri yang didominasi lelaki,” kata MDEC, memetik ‘Mobile Games Whitebook’ oleh NewZoo.
MDEC ialah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang beperanan menerajui ekonomi digital Malaysia pada masa depan. – Bernama