LAWAS: Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari bertindak pantas menghulurkan bantuan kepada mangsa rumah rosak dihempap pokok.
Mangsa merupakan seorang balu, Samah Sadim dari Kampung Kerangan, Lawas.
Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari, Awang@Ibrahim Ahmat bersama jawatankuasa Kebajikan Parti PBB Cawangan Bukit Sari menghulurkan bantuan sumbangan dalam bentuk makanan dan sedikit wang tunai.
Awang @Ibrahim menjelaskan bantuan itu adalah atas sikap prihatin Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Sehubungan itu, mangsa dinasihat untuk membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan dan mengemukakan laporan berkenaan untuk mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Bahagian dapur rumah mangsa mengalami kerosakan atap dan strukturnya apabila dihempap sebatang pokok besar sewaktu hujan lebat Ahad lalu.
Menurut mangsa, sewaktu kejadian beliau bersama keluarga memang berada di bahagian dapur.
Mereka sempat menyelamatkan diri dan penduduk kampung kemudiannya membantu mengalih batang pokok dan membersihkan kawasan yang terjejas.
Malah penduduk kampung turut membantu membaiki bahagian atap yang termampu untuk dibaiki.
Samah yang mengenali Awang Tengah mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pemimpin yang sentiasa mengikuti perkembangan rakyat di Lawas.
Turut serta ialah Mohd Amran Basir, Awang Emran Awang Damit dan Awang Rahimi dari Pusat Khidmat Parti PBB Cawangan Bukit Sari.
Oleh Adeng Edrus