Bukan sekadar keputusan peperiksaan, kejayaan diukur melalui potensi dan kemandirian

Facebook
WhatsApp
DATO Dr Richard Rapu hadir mewakili Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis Graduasi Tingkatan Lima dan PPKI SMK Spaoh 2026 di Dewan Sinaran SMK Spaoh. Foto Dr Richard Rapu

SPAOH, 6 November: Pendidikan bukan sekadar menjadi landasan mencapai kecemerlangan akademik, malah memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah, membina keyakinan diri serta mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran masa depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, majlis graduasi bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar menamatkan satu lagi fasa persekolahan, tetapi turut menjadi pengiktirafan terhadap usaha, kesungguhan dan komitmen mereka sepanjang menimba ilmu.

Menurutnya, bagi pelajar Tingkatan Lima, majlis berkenaan menandakan permulaan kepada perjalanan baharu dalam penddikan dan kerjaya, sama ada melanjutkan pengajian, mengikuti latihan kemahiran atau meneroka bidang bersesuaian dengan minat serta kebolehan masing-masing.

“Bagi pelajar Tingkatan Lima, graduasi ini menandakan permulaan ke arah fasa pendidikan dan kerjaya yang baharu sama ada melanjutkan pengajian, mengikuti latihan kemahiran atau meneroka bidang yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Graduasi Tingkatan Lima dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh 2026 di Dewan Sinaran SMK Spaoh, semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu yang hadir mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah berkata, pendidikan peringkat menengah penting dalam membekalkan pelajar dengan asas pengetahuan, kemahiran berfikir serta nilai disiplin bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia pendidikan dan pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penyertaan murid PPKI dalam majlis graduasi tersebut sebagai manifestasi komitmen sekolah terhadap pendidikan inklusif yang memberi ruang kepada setiap murid untuk diraikan dan dihargai berdasarkan usaha serta perkembangan pembelajaran masing-masing.

Katanya, kejayaan murid PPKI tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian peperiksaan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira perkembangan individu, peningkatan kemahiran dan keupayaan mereka untuk berdikari dalam kehidupan seharian.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan yang dicapai sambil berharap pencapaian itu menjadi pemangkin untuk mereka terus berusaha, meningkatkan potensi diri dan merealisasikan cita-cita.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah, guru serta ibu bapa atas komitmen dan pengorbanan dalam membimbing anak-anak, selain menegaskan kepentingan kerjasama antara sekolah, keluarga dan komuniti dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Majlis Graduasi SMK Spaoh 2026 sekali gus menjadi simbol penghargaan terhadap usaha setiap pelajar serta mengingatkan bahawa kejayaan dalam pendidikan bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga keupayaan membentuk individu berilmu, berkeyakinan, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negeri.

Oleh Adi Safarman