BINTANGOR: Negara demokrasi moden mempunyai empat asas utama, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya.
Katanya, asas yang pertama adalah kedaulatan undang-undang (Rule Of Law), iaitu undang-undang mesti dipatuhi.
“Asas yang kedua adalah telus (transparent), ketiga adalah pentadbiran yang baik (good governance)…kita ada Ombudsman.
“Ombudsman maksudnya kerajaan bersedia untuk dikritik, sekiranya anda yang tidak setuju dengan polisi kerajaan ataupun polisi sedia ada tidak bagus untuk rakyat, atau merasakan hak anda dizalimi, anda boleh menulis (melaporkannya) dan pihak Ombudsman akan melihat perkara yang dilaporkan itu,” katanya.
Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Jelajah Integriti Siri 15 Bil 6/2024 bertempat di Dewan Masyarakat Meradong, hari ini.
Majlis tersebut merupakan anjuran bersama Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION) Jabatan Premier Sarawak dan Pentadbiran Bahagian Sarikei.
Katanya, Ombudsman juga bermaksud memastikan tidak ada rakyat yang dizalimi oleh sistem perintah.
“Asas keempat dan terakhir sekali adalah anti rasuah.
“Pentadbiran moden, semua orang (pihak) tidak boleh mengambil kesempatan atas wang rakyat.
“Wang kerajaan adalah wang rakyat…ia mesti diuruskan mengikut peraturan. Ia mesti diurus mengikut saluran yang ditentukan. Sebab itu kalau ada aduan, salurkan pada saluran yang sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, integriti merupakan salah satu sasaran yang diletakkan oleh kerajaan Sarawak dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Menjelang 2030, kita mahu Sarawak bukan hanya menjadi negeri yang maju, tetapi ia juga adalah sebuah negeri yang berintegriti tinggi.
“Mesej ini kita ingin sampaikan ke seluruh tempat, kerana itu tema bagi jelajah integriti kita adalah “Dari Sempadan Hingga ke Desa”.
“Tempat kita pergi bukan hanya di bandaraya Kuching, kita juga pergi ke seluruh pelusuk Sarawak,” katanya lagi.
Jelasnya, dengan adanya integriti, program pembangunan kerajaan akan lebih berpotensi mencapai kejayaan dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Juanda juga menegaskan kepentingan integriti dalam kalangan pemimpin akar umbi bagi memastikan setiap dasar, bantuan atau projek yang dilaksanakan berjalan lancar.
Turut hadir ialah ADUN Meradong Datuk Ding Koung Hiing, Ketua Bahagian Integriti Wan Hipni Wan Mohammad selaku wakil Pengarah UNION, Residen Sarikei Articia Ally Nagie, Pemangku Pegawai Daerah Meradong Thomas Geoffrey Kendawang, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) Stephen Lau Chi Sieng, Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawati Wan Ahmad, Pemanca Rapen Angga dan Pemanca Yii Hie Sieng.
Oleh Earl Anek