KUCHING: Jasad ‘Bujang Berani’ mendiang Datuk Sarjan (B) Awang Raweng selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Taman Budaya di sini pada jam 11.35 pagi, semalam.
Sejurus sahaja upacara penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenamaan yang hadir di Dewan Suarah berakhir, keranda mendiang dibawa berangkat ke Makam Pahlawan sekitar jam 10.50 pagi.
Setelah selamat tiba pada jam 11.15 pagi, keranda mendiang yang diusung oleh Kumpulan Pengusung Anggota Tentera Dibawah Naungan Satu Division disambut dengan tabik hormat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan veteran-veteran tentera serta wakil polis yang hadir.
Upacara pengkebumian dimulakan dengan tiupan tentuang “Last Post” oleh Anggota Peniup Tentuang ATM.
Upacara diteruskan dengan bertafakur yang diketuai Reverend Canon Roannie W. Cannidy, dan disusuli dengan tiupan tentuang “Rouse”.
Di kesempatan itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Kerajaan Sarawak menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada anak mendian, Panggau Awang.
Sejurus itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi turut berkesempatan menyerahkan bendera ATM kepada anak perempuan mendiang, Doris Awang sebagai tanda penghormatan ATM atas jasa dan pengorbanannya.
Upacara diteruskan dengan peletakan kalung bunga di pusara mendiang yang dilakukan oleh Uggah, diikuti Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion, Penasihat Pertahanan Tentera Diraja British selaku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Kapten Simon Hindmarsh, dan diakhiri Ketua Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.
Upacara pengkebumian berakhir pada jam 11.50 pagi dengan dipenuhi rasa hiba dan duka.
Sementara itu, Zakaria yang ditemui selepas upacara tersebut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bagi pihak ATM.
“Meskipun upacara ini kelihatan ringkas, namun ia dilaksanakan mengikut adat istiadat ketenteraan yang penuh sentimental, seperti yang kami (ATM) berikan kepada kesemua pahlawan negara yang lain,” katanya.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada keluarga mendiang atas jasa dan bakti yang mendiang taburkan demi keamanan dan kesejahteraan negara.
Oleh Akmal Adib Yusup