KUCHING, 29 Oktober: Penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Kota Sentosa perlu memberi tumpuan kepada pembangunan nyata, kesinambungan dan prestasi yang terbukti ketika Sarawak memasuki tempoh peralihan penting.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, sepanjang lima tahun perkhidmatannya di kawasan itu telah beralih daripada ketandusan pembangunan kepada fasa perubahan yang lebih ketara menerusi perancangan sistematik, usaha mendapatkan dana pembangunan dan tindakan menangani keperluan penduduk.
“Ukuran sebenar seseorang wakil rakyat terletak pada pembangunan tempatan yang mampan dan keupayaan menyelesaikan masalah secara aktif, bukannya kedudukan politik atau perdebatan yang tidak membawa hasil,” katanya.
Yap menyenaraikan beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), termasuk projek mitigasi banjir dan naik taraf sistem perparitan Taman Happy Valley bernilai RM2.53 juta, pemodenan Dataran Pekan Kota Sentosa Fasa Dua serta penambahbaikan sistem perparitan di Jalan Kuching Ranger Depo, Batu 7.
Menurutnya, projek tersebut mencerminkan pendekatan yang mengutamakan penyelesaian masalah tempatan yang berlarutan serta peningkatan kualiti hidup penduduk.
“Terdapat perbezaan besar antara menunjukkan sesuatu masalah dengan benar-benar melaksanakan penyelesaiannya. Sesebuah komuniti akan berkembang apabila wakil rakyatnya memberi tumpuan kepada tindakan yang membina,” katanya.
Mengulas naratif politik yang menekankan peranan sebagai pihak pemantau, Yap berkata akauntabiliti juga perlu dinilai berdasarkan penambahbaikan nyata terhadap kemudahan awam dan keadaan hidup masyarakat.
Beliau menggesa penduduk menilai kepimpinan politik berdasarkan prestasi dan rekod pencapaian, sambil menegaskan bahawa keperluan tempatan tidak seharusnya diketepikan akibat pertikaian politik.
“Pilihan yang dibuat hari ini akan menentukan kadar pembangunan infrastruktur dan daya tahan ekonomi kita untuk tahun-tahun akan datang.
“Saya menggalakkan semua penduduk Kota Sentosa melihat hasil kerja yang telah dilaksanakan dan memilih haluan yang berteraskan kestabilan, usaha gigih serta kemajuan berterusan,” katanya.
Yap berkata pembangunan yang berterusan dan usaha konsisten untuk menangani keperluan masyarakat penting bagi memastikan Kota Sentosa terus berkembang secara positif.
Oleh Connie Chieng





