BEKENU: Penduduk di zon Tiris di sini dinasihatkan supaya berwaspada apabila menjalankan aktiviti di sungai ekoran kemunculan seekor buaya di Sungai Tiris pagi tadi.
Salah seorang penduduk di Kampung Masjid Tiris dikenali sebagai Alias, 50-an yang kongsikan cerita kepada Utusan Sarawak berkata, buaya itu dilihat dengan jelas di tebing sungai.
Katanya, keadaan tebingan sungai sudah agak luas dibersihkan penduduk kampung dan orang ramai perlu lebih berhati-hati terutama bila berlaku banjir kilat yang boleh melimpahkan air ke tebing, sekali gus juga membolehkan buaya bergerak.
“Setakat ini buaya tersebut tidak kelihatan ganas tetapi beringat-ingatlah bila berada di tebingan sungai.
“Belum dengar lagi buaya di sini menganggu ternakan penduduk kampung,” katanya.
Utusan Sarawak difahamkan zon ini mempunyai enam kampung iaitu Kampung Tunah, Sebalik, Pintasan, Masjid, Lubok Buinih, Kepayang dan rumah panjang Tr. Albion Tiris.
Sebelum tahun 2000 belum ada Jalan Persisiran Pantai Miri-Bintulu, tetapi Sungai Tiris yang bersambung ke Sungai Sibuti merupakan jalan pengangkutan utama penduduk untuk ke pekan Bekenu.
Oleh Adum Liu