
SIBU: Seekor buaya gergasi dengan panjang melebihi 4.88 meter dan berat sekitar 600 kilogram, yang kerap naik ke darat serta mengancam keselamatan penduduk di sekitar Sungai Rajang, berjaya ditangkap oleh pasukan penangkap buaya berlesen di sini.
Ketua pasukan, Jeferry Siew berkata, buaya berkenaan dianggarkan berusia antara 40 hingga 50 tahun dan telah lama muncul di Sungai Rajang serta anak-anak sungai.
“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini reptilia tersebut semakin kerap kelihatan dan menghampiri kediaman penduduk serta menimbulkan ancaman,” jelasnya kepada pemberita.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada penduduk di kawasan Sungai Bidut sebelum bergegas ke lokasi untuk menjalankan tinjauan dan merangka pelan penangkapan.
“Penduduk mendakwa lebih 10 ekor anjing hilang secara misteri sebelum ini, dipercayai dibaham oleh buaya tersebut.
“Selain itu, ketika air pasang, buaya berkenaan turut berenang hingga ke bawah rumah dan membaham ayam dan itik peliharaan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan itu mula memasang umpan sejak sembilan hari lalu di kawasan buaya sering muncul.
“Setelah beberapa hari tanpa hasil, mereka hampir berputus asa sebelum menerima makluman sekitar 9.00 malam, Rabu (22 April), bahawa buaya tersebut telah terkena umpan.
“Namun, setibanya di lokasi bersama tiga anggota, kami mendapati buaya itu telah mati dipercayai akibat menelan umpan yang mengandungi mata kail besi,” jelasnya.
Menurutnya, disebabkan saiznya yang terlalu besar, buaya tersebut tidak dapat ditarik terus ke atas bot.
“Pasukan terpaksa menariknya secara perlahan ke jeti feri Paradom mengambil masa sekitar tiga jam sebelum berjaya dinaikkan ke jeti sekitar 1.00 pagi, 23 April,” jelasnya.
Katanya, kekurangan ‘main power’ serta ketiadaan kren menyebabkan buaya itu diikat dan diletakkan sementara di kawasan lapang berhampiran jeti.
“Sekitar 6.00 pagi, kami mengumpulkan tenaga tambahan dan dengan bantuan seorang pemandu lori kren yang kebetulan melalui kawasan tersebut, buaya itu akhirnya berjaya diangkat ke atas lori,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut menghubungi Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk menjalankan siasatan.
“Mereka mengesahkan buaya tersebut telah mati, dikenal pasti sebagai buaya jantan, dan selepas pengukuran serta pengesahan spesies,” jelasnya.
Jeferry berkata, sejak awal tahun ini, pasukannya telah membantu SFC menangkap lima ekor buaya bersaiz besar, dan tangkapan kali ini merupakan yang terbesar setakat ini.
Oleh Akun Giman