
MIRI: Seramai 180 penjawat awam daripada 16 jabatan dan agensi diraikan dalam Majlis Penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia Bahagian Miri yang berlangsung di Miri, petang tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang telah menabur bakti dengan penuh dedikasi kepada perkhidmatan awam.
Majlis kali ini merupakan penganjuran kali ketiga bagi tahun 2026, melibatkan penerima daripada 11 jabatan kerajaan negeri dan lima agensi persekutuan.
Dalam majlis tersebut, penerima yang diraikan terdiri daripada mereka yang telah berkhidmat selama 39 tahun dan ke atas, mencerminkan komitmen tinggi serta kesetiaan berpanjangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Antara yang tersenarai sebagai penerima berkhidmat lebih 39 tahun termasuk Richard Jabon dari Jabatan Hutan Sarawak (39 tahun), Lee Bu Chong (40 tahun), Kalanah Bagol (40 tahun), Felix Druce (40 tahun) serta Nilan Taygng (41 tahun), masing-masing daripada Majlis Bandaraya Miri.
Penganjuran majlis seumpama ini dilihat sebagai satu platform penting dalam menghargai sumbangan penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran pentadbiran serta pembangunan negeri.
Selain itu, ia turut menjadi motivasi kepada penjawat awam lain untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negeri Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling