Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Britney Spears terlepas penjara, akui kesalahan memandu bawah pengaruh
  • HIBURAN

Britney Spears terlepas penjara, akui kesalahan memandu bawah pengaruh

Utusan Sarawak 12 hours ago
Britney Spears Foto fail AFP

LONDON: Bintang pop Britney Spears mengaku bersalah atas pertuduhan lebih ringan selepas ditahan kerana memandu di bawah pengaruh, lapor PA Media/dpa.

Penyanyi berusia 44 tahun itu didakwa memandu di bawah pengaruh gabungan alkohol dan dadah di California bulan lepas.

Beliau tidak hadir pada prosiding di Mahkamah Ventura County pada Isnin, namun peguamnya mengaku bersalah bagi pihaknya terhadap pertuduhan lebih ringan itu, sekali gus membolehkan beliau mengelak hukuman penjara, menurut jurucakap mahkamah.

Tawaran pengakuan bersalah itu membolehkan Spears menjalani tempoh percubaan selama setahun dan dikenakan denda dan lazimnya diberikan kepada tertuduh tanpa rekod kesalahan memandu di bawah pengaruh (DUI), kemalangan jalan raya serta tahap alkohol dalam darah yang rendah.

Ia juga lazim bagi tertuduh yang menunjukkan kesungguhan untuk menangani masalah mereka dan mendapatkan rawatan, menurut Pejabat Peguam Daerah Ventura County.

Pertuduhan itu dibuat beberapa minggu selepas penyanyi yang sering mengungguli carta muzik itu secara sukarela memasuki pusat pemulihan.

MICHAEL Goldstein, peguam kepada penyanyi Britney Spears, dan pendakwa raya Ventura County Andrew Sullivant menghadiri sesi pertuduhan kes DUI melibatkan penyanyi AS Britney Spears di Mahkamah Tinggi Ventura County pada 4 Mei 2026 di Ventura, California. Foto AFP

Penyanyi lagu “Toxic” itu, yang memiliki kediaman di kawasan berkenaan, ditahan pada 5 Mac selepas dilihat memandu secara “tidak menentu” dengan kereta BMW 430i berwarna hitam miliknya.

Polis memaklumkan Spears “menunjukkan tanda-tanda terjejas dan menjalani beberapa ujian ketenangan di lapangan” selepas diberhentikan.

Peguam daerah Erik Nasarenko berkata pada Isnin: “Cik Spears bertanggungjawab atas kesalahan ringan ini dengan mengaku bersalah pada peringkat awal, iaitu dua bulan selepas beliau ditahan.

“Memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol serta melakukannya secara cuai dan tidak menentu adalah kesalahan serius yang membahayakan semua pengguna jalan raya dan lebuh raya.”

Beliau berkata Spears juga perlu melengkapkan program DUI pesalah pertama selama tiga bulan serta menjalani ujian kimia bagi alkohol dan/atau dadah semasa memandu.

Spears turut diwajibkan meneruskan rawatan penyalahgunaan bahan.

“Matlamat kami bukan sahaja memastikan individu dipertanggungjawabkan, tetapi juga menyokong perubahan tingkah laku jangka panjang melalui rawatan dan pemulihan,” katanya.

“Mahkamah telah menetapkan syarat tersebut. Kini terpulang kepada Cik Spears untuk mematuhinya.”

Pada 2007, penyanyi kelahiran Mississippi itu mengelak perbicaraan jenayah kes langgar lari selepas membayar ganti rugi apabila jurugambar merakam beliau melanggar sebuah kenderaan lain ketika cuba meletak kereta di sebuah kawasan parkir di California dan beredar selepas menilai kerosakan pada kenderaannya sendiri.

Sepanjang kerjayanya selama beberapa dekad, Spears meraih enam single nombor satu di United Kingdom dan lapan album dalam kelompok 10 terbaik, selain bekerjasama dengan artis seperti Madonna, Rihanna, Iggy Azalea dan Backstreet Boys.

Terbaharu, Spears melancarkan kolaborasi bersama Elton John pada 2022, sebelum bekerjasama dengan anggota Black Eyed Peas, will.i.am dalam lagu bertajuk “Mind Your Business” pada 2023.- Bernama-PA Media/dpa

Continue Reading

Previous: The White Rajah of Sarawak filem animasi muzikal pertama Sarawak
Next: Met Gala 2026 himpunkan bintang dunia, fesyen dan seni jadi tumpuan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.