

MIRI : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot tunda pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika barat muara Sungai Miri atas kesalahan gagal mempamerkan dokumen yang sah semasa diperiksa,semalam.
Bot tersebut turut gagal mengemukakan pas pelepasan pelabuhan semasa memasuki Pelabuhan Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad memberitahu, bot tunda berkenaan ditahan pasukan bot ronda Maritim Malaysia semasa melaksanakan Op Permai dan Op Tiris 3.0 pada sekitar 5.50 petang semalam.
“Bot tunda tersebut bersama 11 kru termasuk nakhoda dalam lingkungan umur 22 hingga 41 tahun telah ditahan dan seterusnya diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PVT) Miri untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mempamerkan dokumen yang sah dan mengemukakan Domestic Shipping License (DSL) semasa diperiksa serta Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan pas pelepasan pelabuhan semasa memasuki Pelabuhan Malaysia.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia sentiasa komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi mencegah sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan jenayah maritim di sepanjang perairan Malaysia.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111 atau Maritim Negeri Sarawak (082-432544/082-432016) atau melalui talian bantuan kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
OLEH LIONG CHAI LING