MIRI: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera apabila bot nelayan dinaiki mereka terbalik di sungai berhampiran Rumah Mekar Sungai Putat, Asam Paya di Kuala Baram di sini, hari ini.
Anggota kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.22 pagi.
Anggota penyelamat yang tiba di lokasi kejadian mendapati pengendali bot yang cedera dan rakannya yang maut telah pun dibawa ke jeti oleh penduduk setempat.
Susulan itu, anggota bomba bersama anggota polis membantu mengangkut mayat mangsa ke darat.
Lelaki yang cedera, dikenali sebagai Jeansher Bunsu, 27 tahun, mengalami kecederaan di kepala dan lengan selepas terkena bilah bot mereka.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk diberikan rawatan lanjut.
Sementara itu, rakannya yang dikenali Vincent Patrick, 58, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubat dari Hospital Miri dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Menurut laporan awal, kedua-dua lelaki itu sedang dalam perjalanan ke hulu Sungai Baram untuk memancing apabila bot mereka tiba-tiba gagal dikawal dan terbalik.
Kedua-duanya tercampak ke dalam sungai, dengan penduduk rumah panjang berhampiran bertindak menyelamat dan membantu mangsa.
Oleh Adum Liu