ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Operasi nyahcemar atau sanitasi oleh Jabatan Penyelamat Malaysia (Bomba)di kawasan awam diteruskan di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Tiong Ling Hii berkata operasi bermula di sebelah pagi di Masjid Darul Abidin, Jalan Astana dengan kerja sanitasi di dalam dan luar premis berkeluasan 743.2243 meter persegi.
“Program ini melibatkan lapan anggota bomba dan 10 anggota Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau menambah operasi sanitasi turut dilakukan di Masjid Al-Abyad, Taman Matang Jaya dengan kerja sanitasi di dalam dan luar premis berkeluasan 5400 meter persegi.
“Kerja-kerja ini melibatkan lapan anggota bomba dan enam anggota Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
“Kita juga melakukan operasi di Masjid Darussalam, Kpg Matang Batu 10 dan Surau Nurul Anuar, Kpg Matang Lot yang melibatkan 10 anggota bomba dan juga di Surau Ad-Din, Batu 10 1/2 Sg Budak dan Surau Ikhwanul Muslimin, Kpg Matang Hilir dengan tujuh anggota bomba yang terlibat,” jelasnya
Beliau berkata enam anggota bomba turut melakukan kerja sanitasi sebuah bas yang membawa penumpang seramai 19 orang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Hotel Pullman.
“Kita juga melakukan sanitasi di Hock Lee Hotel iaitu di premis berkeluasan 29,497.61 meter persegi melibatkan bahagian koridor setiap tingkat (13 tingkat), tempat letak kereta bawah tanah dan pejabat hotel dengan kekuatan anggota seramai 20 orang anggota Bomba,” jelasnya.
Sehingga semalam, 376 lokasi di seluruh negeri telah disanitasi sejak 30 Mac lalu.