SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menambah aset serta kekuatan logistik bagi memperkukuh operasi menangani kebakaran tanah gambut yang masih berlaku di dua lokasi di negeri ini.
Timbalan Pengarah JBPM, Tiong Ling Hii berkata, dua lokasi yang masih terbabit ialah Jalan Kejatau, Lingga di Sri Aman dan Kampung Kut, Daro, manakala operasi di Limbang telah selesai.
Menurutnya, keadaan cuaca turut mempengaruhi operasi berikutan hujan yang berlaku di beberapa kawasan, namun tidak di lokasi yang terbabit dalam operasi kebakaran berskala besar.
“Selepas saya turun meninjau keadaan di Jalan Kejatau pada Khamis lalu, kita melihat keperluan untuk menambah aset, khususnya pam dan jengkaut bagi memperkukuh operasi di lapangan.
“Kita berterima kasih kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang menyumbangkan empat jengkaut untuk menjalankan kerja-kerja membuat jalur pemisah api di kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Larian Amal Bersama Bomba 1.0 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, hari ini.
Menurutnya, pembinaan jalur pemisah api menjadi keutamaan dalam operasi kebakaran tanah gambut bagi menyekat pergerakan api daripada merebak ke kawasan lebih luas sebelum kerja-kerja pemadaman dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Jentera yang digunakan turut membantu pihak bomba membuat pemeriksaan di kawasan terbabit selain mengenal pasti sumber air terbuka yang boleh digunakan untuk kerja-kerja pemadaman,” ujarnya.
Sementara itu, Tiong berkata operasi di Kampung Kut, Daro masih diteruskan, namun pergerakan api berjaya dikawal selepas firebreak dibina di kawasan terbabit.
“Semalam, dua jentera digunakan dan kita turut memohon sekurang-kurangnya sebuah lagi jentera bagi membantu kerja-kerja firebreak.
“Apabila firebreak selesai, barulah kita dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti pemadaman,” katanya.
Justeru, beliau berkata langkah itu penting bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat memandangkan terdapat rumah burung dan stesen minyak berhampiran kawasan kebakaran.
Tiong berkata, operasi di kawasan berkenaan dijangka berterusan antara dua hingga tiga hari lagi bergantung kepada keadaan cuaca dan situasi di lapangan.
“Jika hujan turun, saya yakin operasi dapat diselesaikan dalam tempoh sekitar dua hari. Namun, jika tiada hujan, ia mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga hari atau sehingga empat hari.
“Apabila kita berjaya memadamkan lebih 80 peratus kawasan kebakaran, kita akan mengurangkan kekuatan logistik dan mengecilkan skala operasi bagi mengurangkan kos pemadaman,” katanya.
Oleh Tarani Lanting



