
SARIKEI: Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengalihkan sebatang pokok getah yang tumbang dan menghalang laluan berhampiran sebuah sekolah menengah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.14 petang semalam.
Katanya, tujuh anggota bomba digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebatang pokok getah sepanjang kira-kira 4.57 meter tumbang di atas jalan sehingga menghalang laluan.
“Komander operasi kemudian menjalankan penilaian awal sebelum mengarahkan anggota bomba memotong pokok tersebut menggunakan mesin gergaji berantai,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengalihkan pokok tumbang ke tempat yang selamat.
“Operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan berjaya diselesaikan sepenuhnya pada 5.12 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek