MIRI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) Taman Negara Mulu, semalam.
Pengarah JBPM Negeri Sarawak Khirudin Drahman berkata idea untuk menubuhkan pasukan berkenaan tercetus sejak tahun 2017 lalu.
“Ia bermula ketika JBPM Negeri Sarawak telah melaksanakan latihan penyelamatan yang melibatkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) di Taman Negara Mulu selama seminggu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Cadangn itu menjadi kenyataan berikutan untuk meningkatkan keyakinan pelancong sekali gus merancakkan industri pelancongan negeri di Taman Negara berkenaan.
Menurutnya, kejadian lemas di Gua Rusa Taman Negara Mulu tahun lalu meraguy nyawa pelancong Belanda dan pemandu pelancong warga tempatan semalam telah genap satu tahun pada tarikh 12 Julai tahun lepas benar-benar menguji kesiapsiagaan jabatan dalam menghadapi insiden.
“Begitu juga kebakaran hutan di Bukit Batu Bungan menuntut Bomba untuk mencari kaedah penyelesaian segera supaya sebarang insiden yang berlaku di Taman Negara Mulu dapat ditangani dalam tempoh masa yang singkat seterusnya meningkatkan capaian masa tindak balas jabatan,” ujarnya.
Menjelaskan perbezaan skop tugasan pasukan itu, Khirudin berkata ia berbeza dengan Pasukan Mencari dan Menyelamat di gunung (MOSAR) Kinabalu yang skop tugasnya tertumpu kepada tugas penyelamatan di gunung sahaja.
“Pasukan MOCSAR ini bertanggungjawab sebagai anggota pemadaman sekiranya berlaku kebakaran struktur dan hutan, bertindak sebagai pasukan mencari dan menyelamat di gunung dan gua,” jelasnya lagi.
Selain itu, katanya pasukan berkenaan juga akan diberikan kemahiran untuk memberi rawatan awal untuk mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan semasa mendaki gunung dan gua.
“Bertindak sebagai first responder (pemberi bantuan awal), pasukan MOCSAR akan dilatih kemahiran menggunakan peralatan komunikasi dan ini perlu bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan Pusat Gerakan Operasi Negeri apabila menghadiri sebarang insiden,” ujarnya.
Terdahulu majlis berkenaan menyaksikan seramai 11 orang anggota MOCSAR menerima surat pelantikan dari oleh Khirudin.
Oleh Diyana Samsuddin