SIBU: Projek blok tandas baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist yang bernilai RM1.1 juta telah siap untuk kegunaan warga sekolah tersebut.
Pengetuanya Philip Ling berkata, projek tandas bertaraf lima bintang itu mengambil masa tujuh bulan untuk disiapkan itu akan memberi manfaat kepada pelajar dan guru.
“Saya berharap agar semua pelajar dapat menjaga dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah dengan baik,” katanya.
Ling turut mengucapkan terima kasih kepada lembaga pengurusan sekolah kerana menyediakan kemudahan terbaik kepada sekolah pada majlis perasmian itu, malam tadi.
“Tidak lupa kepada individu yang telah memberikan sokongan kewangan dan nasihat profesional yang tidak berkesudahan sepanjang tempoh pembinaan,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Sekolah John Ting, Naib Pengerusi Datuk Ding Lian Cheon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek dan Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Joseph Chieng, Presiden Persidangan Tahunan Cina Sarawak (SCAC) Rev Dr Lau Hui Ming serta bekas pelajar Sandra Chiew.
Oleh Tarani Lanting