KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk menggalakkan tindakan awal dan membina kesedaran yang lebih tinggi mengenai kesihatan pencegahan di Malaysia, berikutan masalah artritis (radang sendi), tulang, otot dan sendi yang menjadi semakin banyak dalam kalangan penduduk, menurut sebuah syarikat kesihatan antarabangsa.
Pengarah Urusan Kumpulan Blackmores Asia Andrew Fuary berkata ini menyebabkan menjadi suatu yang penting untuk mengambil langkah proaktif terhadap kesihatan peribadi dan bukannya menunggu sehingga timbulnya masalah kesihatan.
“Di Blackmores, kami percaya bahawa pengguna tidak seharusnya menunggu sehingga adanya masalah kesihatan, sebelum mereka mula mengambil berat tentang kesejahteraan diri.

“Pencegahan bermula dengan pilihan harian yang kita buat, sama ada dengan mengekalkan gaya hidup aktif mahupun sekadar menjaga diri dengan lebih baik,” katanya pada majlis pelancaran Karnival Jom!Fit di sini, hari ini.
Karnival anjuran Blackmores dengan kerjasama Farmasi Caring, Karnival Jom!Fit menjadi platform berasaskan pengalaman, yang dibuat untuk mendidik orang ramai mengenai penjagaan pencegahan serta memperkasakan individu untuk mengambil lebih banyak tanggungjawab terhadap perjalanan kesihatan mereka sendiri.
Fuary berkata acara kesejahteraan tersebut menandakan satu pencapaian penting bagi Blackmores, memandangkan syarikat itu merealisasikan wawasan Lebih Sihat, Lebih Bermakna pada ketikameraikan 50 tahun keberadaan jenama tersebut di Malaysia.
Beliau berkata program itu juga menampilkan Cabaran 500 Pusingan Kecergasan, satu inisiatif yang bertujuan untuk menggalakkan aktiviti fizikal melalui penglibatan komuniti.

“Cabaran 500 Pusingan Kecergasan mencerminkan kepercayaan yang sama. Ia bukan sekadar tentang mencapai sesuatu angka, tetapi bagi menyedari bahawa kesihatan yang lebih baik dibina selangkah demi selangkah. Setiap pusingan yang dilengkapkan sepanjang beberapa hari lepas, mewakili satu langkah positif ke arah gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran Blackmores Malaysia Chloe Meng berkata kerjasama dengan Farmasi Caring diharap mampu memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mengambil langkah yang lebih aktif dalam menguruskan kesihatan mereka.
Beliau juga optimis bahawa kempen itu, mampu mendidik gaya hidup yang lebih baik di negara ini.
“Melalui usaha bersama, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran kesihatan dan menggalakkan ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya. – Bernama





