CHERYL LAW
KUCHING: Ramai peniaga gerai yang beroperasi pada bulan Ramadan terpaksa akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkan para peniaga beroperasi pada waktu yang terhad.
Menurut salah seorang penjual satay, Kamarol, perniagaan sekarang agak merosot sebab masa terhad dan pergerakan orang ramai yang tersekat.
“Pelanggan juga tidak berapa banyak sebab penghantaran pun terhad dalam kawasan 10 kilometer sahaja. Oleh itu, kita pun terpaksa hadkan tempahan,” katanya.
Jelasnya, kalau ikut daripada segi pendapatan, memang agak merosot daripada hari biasa tetapi terpaksa akur sebab PKP.
“Memang kita ada minta bantuan yang kerajaan bagi sebab kita ada lesen tetapi proses untuk mendapatkan wang itu mengambil masa dan kalau tunggu duit itu memang lambat.
“Kita terpaksa juga beroperasi sebab sewa gerai berjalan seperti biasa. Sama juga untuk pemilik kedai makan, sewa memang kena bayar melainkan menyewa bangunan kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) kerana tidak perlu bayar sewanya,” katanya.
Kamarol menambah, kebaikan skim Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang kerajaan negeri sediakan memang ada membantu sedikit untuk peniaga kecil membuat modal pusingan tetapi untuk menjalankan perniagaan seperti biasa itu agak terbatas.
Seorang lagi peniaga gerai Kak Siti Nasi Kerabu, Ishak Zainal Abidin, 42, bersama isterinya, Nuraini Saeli, 39, masih menjalankan perniagaan sepanjang tempoh PKP.
Beliau menjalankan perniagaan selepas diberi kebenaran oleh kerajaan untuk berbuat demikian dan mereka bersyukur kerana masih dapat berniaga dengan sokongan daripada pelanggan yang menempah makanan dalam talian dan dibungkus.
Ishak berkata, pelanggan lebih banyak membuat tempahan dalam talian melalui media sosial seperti Facebook dan Whatsapp. “Ini kerana kami ada media sosial facebook jadi orang akan menempah dalam talian kerana mendapatinya lebih senang.”
“Perniagaan seperti biasa tetapi pelanggan berkurangan mungkin disebabkan PKP,” tegas beliau.
Ishak menambah, dia bersyukur dengan bantuan khas yang diberi kerajaan kepada peniaga kecil yang menghadapi cabaran untuk terus berniaga sepanjang tempoh PKP itu.
“Bantuan ini dapat meringankan beban kerana perniagaan sekarang tidak mengntungkan,” katanya.