BINTULU: Generasi muda digesa merebut peluang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang semakin meningkat seiring perkembangan sektor perindustrian di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, perkembangan industri seperti tenaga hijau, minyak dan gas, teknologi hidrogen serta pembuatan termaju memerlukan lebih ramai tenaga profesional tempatan yang memiliki kemahiran STEM.

Menurutnya, penguasaan bidang itu bukan hanya menjadi tiket kepada kerjaya berpendapatan tinggi, malah membentuk generasi yang mampu berfikir secara kritis, berinovasi dan menghasilkan penyelesaian kepada cabaran masa depan.
“Gunakan peluang dalam program ini sebaik mungkin. Jadilah pelajar yang sentiasa ingin tahu, berani bertanya soalan, mencuba perkara baharu dan tidak takut melakukan kesilapan.
“Setiap ciptaan hebat bermula dengan individu yang sanggup belajar, meneroka dan terus berusaha,” katanya ketika berucap merasmikan program Jangkauan STEM IMechE 6.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, inisiatif Curtin University Malaysia IMechE Student Chapter yang meneruskan penganjuran program berkenaan untuk edisi keenam membuktikan komitmen berterusan institusi itu dalam menyemai minat pelajar terhadap STEM sejak di bangku sekolah.
Justeru, beliau berharap agar lebih banyak kerjasama seumpama itu dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pembangunan industri dan ekonomi Bintulu
Selain itu, Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru, sukarelawan serta penaja yang menjayakan program berkenaan.
Oleh Carolyne Utih




