KOTA BHARU: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan satu mesyuarat hari ini bagi membincangkan soal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincang dan diputuskan dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 yang akan diadakan di Putrajaya.
“PKP penuh antara langkah yang perlu difikirkan oleh MKN, dan ia akan dibincangkan hari ini sebelum diputuskan. Mesyuarat 3.00 petang itu juga akan dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri,” katanya, kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini semalam.
Katanya, kerajaan melihat penularan Covid-19 sebagai perkara yang amat serius dan berdasarkan statistik semalam, jumlah kumulatif kes positif sudah hampir setengah juta apabila 485,496 kes telah direkodkan setakat ini.
Menurutnya kerajaan sedar selain memerlukan langkah tegas merawat kes positif, langkah pencegahan adalah juga penting, kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
“Disebabkan itulah semalam kita menekankan soal pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sudah diputuskan oleh Kerajaan Pusat. Kita ada langkah pencegahan sehingga diwujudkan Team SOP yang diketuai PDRM, ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu merujuk kepada isu berhubung sumbangan kepada rakyat Palestin, Takiyuddin berkata, kerajaan sentiasa memantau kegiatan mengutip dana bagi tujuan itu, malah menggalakan kegiatan murni berkenaan kerana ia melambangkan nurani rakyat negara ini walapun berhadapan dengan pandemik Covid-19.
Beliau berkata, pada masa sama kerajaan juga bersetuju menjadi pemudah cara kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menjalankan misi kemanusiaan bagi memulihkan semula negara Palestin.
“Ini adalah selaras dengan polisi kerajaan, kita mengecam tentera Zionis yang melakukan pelbagai kekejaman di Palestin. Kerajaan Persekutuan akan sentiasa bersama dengan NGO dan akan membantu dalam apa jua cara termasuk berkaitan saluran undang-undang.
“Justeru, kerajaan bersetuju untuk menjadi pemudah cara terutamanya dalam menjalankan misi kemanusiaan di Palestin dengan membina jalan raya, sekolah, masjid dan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini,” katanya.
— Bernama