
Abang Johari ketika berucap merasmikan EIC Connect Energy Borneo 2025, di Kuching hari ini. Foto UKAS
KUCHING: Perbincangan mengenai kaedah pembinaan kabel dasar laut bagi projek sambungan elektrik berkapasiti 1,000 megawat (MW) dari Sarawak ke Singapura kini berada di peringkat akhir.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, memandangkan pemasangan kabel dasar laut ini merupakan antara yang terpanjang di dunia, kerajaan Sarawak sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan.
“Mempertimbangkan kerumitan dalam pemasangan kabel dasar laut jarak jauh ini, kami bekerjasama erat dengan semua pihak berkaitan, termasuk Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan EIC Connect Energy Borneo 2025, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari memaklumkan bahawa Sarawak komited untuk merealisasikan sambungan tenaga ke Brunei Darussalam menjelang 2030 dengan kapasiti eksport awal antara 30 hingga 50 MW.
“Selain itu, Sarawak juga dijangka mengeksport sekitar 30 hingga 50 MW tenaga boleh diperbaharui ke Sabah menjelang akhir tahun ini menerusi talian penghantaran 275 kV sepanjang 34 kilometer,” tambahnya.
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan industri tenaga.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tenaga), Brunei Darussalam, Dato Seri Paduka Awang Mohamad Azmi Mohd Hanifah; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abg Hipni; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Energy Industries Council United Kingdom, Stuart Broadley. – EDISI UKAS