KUCHING: Pembinaan jalan raya di Sarawak perlu mengambil kira beberapa faktor utama termasuk misi menghubungkan 6,000 penempatan yang berselerak di negeri ini.
Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi berkata, Kerajaan Sarawak melalui Program Perhubungan Luar Bandar (RCP) Jalan Pesisir dan Jalan Utama, sedang berusaha untuk menghubungkan seluruh penempatan berselerak di negeri ini.
“Selain daripada menghubungkan penempatan, pembukaan kawasan baharu turut menjadi faktor utama kepada pembinaan jalan raya baharu di Sarawak.
“Sekiranya sesuatu kawasan itu dibuka, perancangan untuk membina jalan raya perlu dijalankan sebagai kemudahan dan keperluan utama kawasan tersebut,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada ADUN Balingian, Abdul Yaakub Arbi mengenai kos pembinaan jalan raya di negeri ini dalam Persidangan DUN Sarawak, semalam.
Menurutnya lagi, keadaan aliran trafik di sesuatu kawasan turut memainkan peranan penting dalam perancangan untuk membina sesebuah jalan raya.
“Antara faktor utama lain yang sering diambil kira adalah bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pemandu.
“Kita ingin memastikan setiap jalan raya baharu yang dibina dapat menyelesaikan masalah khususnya dari segi kesesakan lalu lintas, termasuk memendekkan jangka masa dan jarak antara destinasi tumpuan,” tambahnya lagi.
Ketika ditanya berkenaan kos pembinaan jalan berturap (tarseal) untuk satu kilometer di Sarawak, beliau mendedahkan bahawa ia tergantung dengan struktur muka bumi di kawasan tersebut dan mengikut jenis standard jalan.
“Bagi kawasan berbukit bakau dan pergunungan, anggaran perbelanjaan bagi pembinaan jalan raya adalah di antara RM6.3 juta hingga RM10.7 juta.
“Bagi tanah rata pula, anggaran kos pembinaan adalah di antara RM4.7 juta hingga RM10.4 juta, manakala dianggarkan RM5.7 juta hingga RM12.5 juta bagi pembinaan di kawasan tanah gambut,” jelasnya.