PERSATUAN Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA) memuktamadkan keputusan untuk menangguh semua kejohanan yang disenaraikan pada tahun ini.
Presiden BIFA, Mohd. Zaifulfadillah Junaidi memberitahu, pihaknya tiada pilihan dengan mengambil keputusan untuk menangguh semua kejohanan yang bakal dilangsungkan tahun ini.
Ini termasuk, katanya merangkumi Liga Bintulu, Liga Futsal Bintulu dan beberapa kejohanan serta program pembangunan lain.“Seperti diketahui situasi semasa masih tidak begitu mengizinkan ekoran penularan virus Covid-19.
“Pihak kita begitu mengutamakan kesihatan serta keselamatan semua pihak dan langkah menangguhkan penganjuran sebarang kejohanan adalah tepat,” jelas beliau ketika mengulas perkara itu.
Jelas Mohd. Zaifulfadillah, ini ditambah pula keputusan pihak kerajaan masih tidak membenarkan acara sukan bola sepak dilangsungkan ketika ini.
“Dalam kepekaan pihak kita menyahut seruan kerajaan untuk bersama-sama memutuskan rantaian penularan virus berbahaya itu (Covid-19) agar negara bebas dari ancamannya selepas ini,” ujar beliau lagi.
Beliau percaya semua peminat mahupun penggiat sukan khususnya yang melibatkan sukan bola sepak mahupun futsal turut mengetahui di sebalik musibah yang melanda negara ketika ini.