KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengharapkan seorang ‘playmaker’ dan suara Ahli Parlimen yang lebih kuat di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Pengerusi Publisiti dan Media GPS, Dato Idris Buang yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata adalah lebih penting untuk mewujudkan ‘playmaker’ yang mampu melaksanakan banyak perkara untuk rakyat selain hanya menghasilkan ‘kingmaker’.
Justeru, beliau menggesa masyarakat Cina supaya mengubah mentaliti dan janganlah terlalu taksub dengan kata-kata manis serta propaganda calon Pakatan Harapan (PH), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan pihak pembangkang lain.
“Ia adalah tidak berguna untuk berbicara mengenai perjuangan untuk menuntut kembali hak kita menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melainkan kita menghantar wakil dari GPS untuk membincangkannya dengan Kerajaan Persekutuan.
“PRU-15 kali ini berbeza daripada pilihan raya umum yang lalu. PRU kali ini adalah untuk menentukan parti yang layak membentuk Kerajaan Persekutuan dan tiada gunanya bagi GPS untuk memperjuangkan MA63 apabila suara Sarawak tidak kuat di Dewan Rakyat,” katanya semasa sesi sembang media di Ibu Pejabat PBB di sini, hari ini.
Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang menegaskan kemakmuran dan kestabilan negara lebih penting dan politik itu adalah untuk berubah kepada yang lebih baik.
“Kerajaan GPS masih yang terbaik untuk Sarawak dan rakyat harus memberi sokongan padu kepada semua calon GPS yang bertanding di 31 kerusi Parlimen di negeri ini.
“GPS merupakan pemangkin kepada kemakmuran dan kestabilan negara yang akan menjadikan politik di Malaysia menjadi lebih baik,” katanya.
Di samping itu, beliau turut menggesa pengundi untuk memberi sokongan kepada calon muka baharu GPS di kerusi Parlimen.
Katanya, semua 14 calon muka baharu itu mempunyai kelayakan yang baik serta telah dipertimbangkan daripada semua aspek sebelum dicalonkan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA