Betong kekal catat IPU tidak sihat, 20 stesen lain sederhana

Facebook
WhatsApp
BETONG mencatatkan bacaan IPU 105 pada tahap tidak sihat, manakala 20 stesen pemantauan lain di Sarawak berada pada tahap sederhana setakat 4.00 petang ini

KUCHING, 9 Oktober: Kualiti udara di Betong masih berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 105 setakat 4.00 petang ini, manakala 20 stesen pemantauan lain di seluruh Sarawak mencatatkan tahap sederhana.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Betong menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi paras 100, sekali gus mencatatkan bacaan tertinggi di negeri ini.

Sementara itu, Lubok Antu mencatatkan bacaan kedua tertinggi iaitu 90, diikuti Kuching (87), Serian (86) dan Sri Aman (85).

Samarahan dan Lundu masing-masing merekodkan bacaan IPU 82, diikuti Belaga (80), manakala Bintulu dan Samalaju masing-masing mencatatkan bacaan 76.

Kawasan lain yang turut berada pada tahap sederhana ialah Mukah, Miri dan Lawas masing-masing (71), Sarikei (70), Sibu dan Kapit masing-masing (68) serta Kanowit (66).

ILP Miri pula mencatatkan bacaan IPU 65, diikuti Tebedu (60) dan Limbang (59).

Bario merekodkan bacaan IPU terendah di Sarawak iaitu 55, namun masih berada dalam kategori sederhana.

Secara keseluruhannya, sebanyak 20 daripada 21 stesen pemantauan kualiti udara di Sarawak mencatatkan bacaan IPU antara 51 hingga 100, manakala Betong berada dalam kategori tidak sihat.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 301 hingga 400 berbahaya.

Bacaan IPU pada tahap tidak sihat boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya individu yang mempunyai masalah berkaitan jantung dan paru-paru.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status kualiti udara di Sarawak menerusi laman web rasmi NREB.

Oleh Norman B