SIMANGGANG: Penduduk di kawasan berisiko diingatkan untuk berwaspada dan bersedia bagi menghadapi segala kemungkinan banjir berlaku di daerah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menyatakan bahawa dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, orang ramai perlu sentiasa bersiap siaga.
“Semoga semua mangsa banjir di negeri ini diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.
“Saya juga ingin mengingatkan semua agar sentiasa berwaspada mengenai kenaikan paras air sungai dan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina DUN N.28 Lingga bertempat di sebuah hotel terkemuka dekat sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Dayang Noorazah berkata rakyat di Sarawak amat bertuah kerana hidup dalam masyarakat majmuk yang bersatu-padu. Perpaduan ini katanya adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan.
“Oleh itu, marilah kita terus berusaha memelihara keharmonian ini dan mengukuhkan lagi kerjasama dalam pelbagai aspek, termasuk pembangunan ekonomi dan sosial.
“Kerajaan sarawak pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sentiasa komited dalam memastikan pembangunan yang seimbang bagi semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.
“Pelbagai inisiatif dan bantuan telah diperkenalkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjaga, termasuk bantuan kepada peniaga kecil, program pembangunan masyarakat, serta pelbagai projek infrastruktur di kawasan ini,” katanya.
Dayang Noorazah menegaskan bahawa DUN Lingga tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan masa kini.
“Kita akan terus berusaha memperkasakan ekonomi tempatan, memperbaiki kemudahan awam, serta menyediakan lebih banyak peluang kepada masyarakat, termasuk komuniti Cina yang memainkan peranan penting dalam sektor perniagaan dan keusahawanan,” jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Khas dari Pejabat Premier Sarawak Datuk Bujang Helmi Hazmi; Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Mohd Rizal Zakaria; Walikota MDSA, Kaunselor Anthony Abell Chendan; Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman Ts Lenny Busuri; Temenggung Kueh Aik Seng; Temenggung Mohamad Shah Achang dan Pemanca Abang Norin Abang Norudin.
Oleh Adi Saparman