KUALA LUMPUR: Bersatu menghargai ketetapan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk terus memperkukuhkan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Bersatu menyambut baik dan menghargai ketetapan PAS,” kata Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam bagi memuktamadkan hala tuju kerjasama politik dan persediaan menghadapi PRU-15.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam berkata, PAS membuat keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah.
Susulan keputusan PAS itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU-15.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan meletakkan tiga syarat untuk dipenuhi PAS sebelum UMNO kembali berunding dengan PAS iaitu PAS perlu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu ‘mufarakah’ atau berpisah sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.
Hamzah dalam kenyataan hari ini berkata, Bersatu memberi komitmen untuk memantapkan serta memperhebat gerak kerja jentera bersama parti-parti komponen PN bagi memastikan kejayaan dalam PRU-15.
Selain Bersatu, parti komponen PN terdiri daripada PAS, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Hamzah berkata, mesyuarat turut membincangkan cadangan serta maklum balas berkaitan manifesto PRU-15 PN yang dirangka Jawatankuasa Manifesto PN yang dipengerusikan Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin. – Bernama