KANOWIT: “Beri saya peluang lima tahun lagi”
Itu permintaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang yang berharap rakyat di kawasan itu memberinya peluang lima tahun lagi sebagai Ahli Parlimen di situ.
“Ia bagi memastikan perancangan dan usaha pembangunan yang berterusan dan adil untuk rakyat Kanowit.
“Kawasan Kanowit masih lagi memerlukan kemudahan asas yang lengkap bagi meningkatkan pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya pada sesi Randau Bersama Penduduk di Nanga Ngemah dan Majau seperti dilaporkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Aaron meminta rakyat di kawasan itu yang layak untuk turun mengundi pada 19 November nanti demi masa depan Kanowit.
Katanya, rakyat Kanowit harus memilih calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya mereka dapat membawa suara penduduk Kanowit di peringkat nasional.
Aaron adalah calon GPS mewakili Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang berdepan empat calon lain dalam usahanya mempertahankan kerusi Parlimen Kanowit.
Empat calon lain ialah Joseph Nyambong (PH), dan tiga calon Bebas iaitu Dr Elli Luhat, George Chen dan Michael Lias.
Pada PRU-14 2018, Aaron menang kerusi Parlimen Kanowit dengan majoriti 4,312 undi.